Musly Ramlee, Liza Hanim Kongsi Pentas Sekali Lagi

Penyanyi dan pelakon yang popular sebagai ‘klon’ Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Musly Ramlee akui teruja menjayakan konsert Semalam Di Malaya yang dibawakan oleh Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) pada 15 dan 16 September ini.

Kata lelaki berusia 50 tahun ini, dia cukup gembira untuk kembali beraksi di pentas Dewan Filharmonik Petronas (DFP) biarpun sudah beberapa kali membuat persembahan di sana.

“ Saya sudah memulakan sesi latihan bermula hari ini (Khamis) dan sudah tidak sabar untuk menghiburkan para penonton yang bakal datang.

“ Kali terakhir saya naik ke pentas DFP kira-kira dua tahun lalu. Walaupun sudah lima kali menjejak kaki di pentas berkenaan, teruja tetap sama,” katanya kepada xtra.com, hari ini.

Pada konsert berdurasi dua jam itu nanti, Musly bakal berduet dengan penyanyi Liza Hanim.

“ Ini bukan pertama kali saya berganding suara dengan Liza. Jujurnya, saya senang untuk bekerja di satu pentas dengannya. Dia amat profesional dan seorang penyanyi berkomitmen tinggi,” katanya.

Sebelum ini, Musly dan Liza Hanim pernah membuat persembahan bersama dalam P Ramlee The Musical pada tahun 2008.

“ Saya berharap penonton atau peminat yang menggemari muzik klasik malar segar dapat hadir ke DFP pada minggu ini. Terus beri sokongan kepada kami ya,” akhirinya.

Musly memberitahu dia bakal menyampaikan beberapa buah lagu antaranya Hujan Di Tengahari, Nak Dara Rindu, Di Mana Ku Cari Ganti, Kwek Mambo, Joget Malaysia dan Getaran Jiwa.  

Selain Musly dan Liza Hanim, penyanyi popular Aishah dan Rachel Guerzo Trio turut berkongsi pentas yang sama.

Konsert Semalam Di Malaya akan dipimpin oleh konduktor Ahmad Muriz Che Rose.

Konsert ini merupakan kelangsungan siri konsert muzik tradisional persembahan MPO di DFP selepas Irama Warisan Kita (2009), Keroncong Merdeka (2012) dan Malaysia Tanah Airku (2014) yang mendapat sambutan baik dari penggemar muzik tempatan.

Tiket konsert Semalam di Malaya sudah mula dijual sejak Jun lalu.

Harga tiket adalah RM358 untuk tempat duduk Premium, RM254 (A Reserve), RM198 (B Reserve) dan RM141 (C Reserve).

SGMS Faida