Nabil Ahmad Hargai Peminat, Bawa Tunai Umrah

Mula mencipta nama dalam industri hiburan tanah air dengan menghadiri ujibakat pencarian pelawak, nama Nabil Ahmad kini semakin dikenali di seluruh Malaysia. Namun, menurut Nabil walaupun sudah dikenali beliau tidak pernah lupa asal usul beliau. Justeru itu, Nabil mengambil keputusan untuk memberikan sesuatu kepada peminat yang sentiasa menyokong kerjaya beliau sehingga ke hari ini.

Bagi Nabil sendiri, tiada apa yang lebih baik untuk menghargai peminat selain mengajak mereka bersama-sama menunaikan umrah pada Ramadan depan. Nabil juga menganggap peluang mengerjakan ibadat umrah bersama peminat adalah sesuatu yang dianggap terlalu istimewa. 

“Umrah adalah jalan terbaik untuk merealisasikan impian semua orang. Ini adalah peluang kepada mereka yang mahukannya. Kali pertama saya beri hadiah istimewa ini kepada peminat sejak jadi anak seni. Saya pilih untuk berpuasa bersama peminat di Tanah Suci. Ini tanda saya hargai penghargaan buat peminat dan saya mahu berkongsi pengalaman yang diperoleh di sana dengan mereka.” Jelasnya.

Tambahnya lagi, maklumat lanjut mengenai program umrah bersama peminat itu akan diumumkan pada majlis meraikan dirinya dalam dunia hiburan pada 24 Mac depan. 

“Apa yang penting, jatuh dan bangun saya, peminat tetap bersama. Banyak yang dipelajari mengenai soal menghargai insan lain apabila menempah detik sukar. Dulu gaji saya antara RM500 ke RM600, saya serah kepada emak dan tinggal RM50  dalam dompet. Malah saya rasa bagaimana duit tinggal RM5. Dan, kenangan itu menjadikan saya kuat dan tidak lupa siapa yang membantu dan pernah susah bersama saya dulu. saya masih ingat dan berkawan baik dengan mereka sehinggalah sekarang.” Ujarnya

Dalam perkembangan lain, Nabil juga turut mengumumkan bahawa ada ganjaran lain buat peminatnya selain pakej umrah tersebut. 

Haa, kalau semua nak tahu kenalah tunggu 24 Mac nanti okay!

Salma Syahbuddin