Nabil Mahir Mengakui Dilamun Cinta

Akhirnya setelah bermain tarik tali dengan netizen dengan menafikan mereka bercinta dan hanya berkawan, pengacara Nabil Mahir mengaku sedang dilamun cinta dengan pelantun lagu Temberang, Ayda Jebat. 

Sebelum ini hubungan mereka dihidu netizen kerana saling membalas komen mesra di laman instagram masing-masing. 

Mendakwa hubungan mereka bukan lagi rahsia kerana kedua-dua pihak telah menemui dan berkenalan dengan keluarga masing-masing. Tambah Nabil, mereka sebenarnya sudah lama berkawan cuma hubungan mereka menjadi lebih rapat dan intim sejak beberapa bulan lepas.

“Memandangkan Ayda sudah membuka mulut, sudah tiba masanya untuk saya memberi noktah kepada teka-teki ini.

“Benar, kami menjalinkan hubungan cinta…Cuma kurang pasti tarikh cinta kami mula berputik. Disebabkan sudah dewasa, kami bercinta apabila masing-masing selesa,”katanya kepada BH Online semasa ditemui pada sidang media pelancaran lagu dan muzik video Ayda berjudul ‘Better Than You’ semalam. 

Walaupun mereka belum mempunyai perancangan untuk membawa perhubungan mereka ke fasa seterusnya, masing-masing lebih selesa bila perhubungan mereka diketahui kedua-dua belah keluarga supaya tidak timbul salah faham pada masa hadapan. 

“Ahli keluarga kami sudah berjumpa.  Ini bagi mengelak timbul sebarang masalah pada masa hadapan.  Lebih mudah, sekiranya mereka selesa berjumpa dan bergaul. 

“Baru saja meletakkan ‘label’ pada hubunga, saya fikir masih terlalu awal untuk berkongsi lebih lanjut mengenai fasa seterusnya,” ujar Nabil.

Pengacara berusia 31 tahun ini mengatakan pada usianya sebegini dia sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang suami, namun tidak mahu terburu-buru membuat keputusan kerana masih di dalam peringkat mengenali hati budi masing-masing. 

Terdahulu Nabil pernah bercinta dengan pelakon, Sarah Hildebrand tetapi hubungan mereka putus di tengah jalan selepas 5 tahun menjalin cinta.

Malah, Sarah juga telah pun berkahwin dengan rakan sekolah lamanya yang berasal dari Amerika Syarikat, Otto Gillen pada 3 November lalu. 

Baca: Sarah Hildebrand Sah Isteri Kepada Otto Dengan Sekali Lafaz!

 

Kredit Foto: Instagram @beritaharian dan @nabilmahir

 

Del14