Categories: HiburanTrending

Nabila Razali Menari Di TikTok Hanya Untuk Hiburan & Mengikut ‘Trend’

Gara-gara video tarian bersahaja tular di media sosial, penyanyi, Nabila Razali menjadi bualan hangat netizen apabila dikatakan sudah hilang rasa malu bahkan dilabel ‘rosak’ setelah mendirikan rumah tangga.

Nabila bagaimanapun membidas komen netizen dengan mengatakan ia hanya sekadar hiburan semata-mata.

Malah, menurut pelantun lagu Peluang Kedua itu, dia cuba menampilkan kelainan dalam kandungan media sosialnya supaya peminat tidak cepat rasa bosan dengan perkongsian kehidupan dan kerjaya seni.

“Saya bukan ‘rosak’ , ia hanya sekadar untuk menghiburkan.

“Peminat mungkin tahu kerja hakiki saya sebagai penyanyi dan pelakon.

“Tapi di rumah, apa yang saya lakukan? Jadi, salah satunya adalah dengan buat ‘content’ (kandungan) video sedemikian,” katanya.

Menurut Harian Metro, video tarian yang dilakukan di aplikasi TikTok tersebut hanya mengikuti ‘trend’ semasa sahaja.

Baginya, video tersebut tidak mencemarkan aib dia, suaminya mahupun keluarga serta ia bukanlah satu isu mustahak yang perlu dikupas.

“Selagi perkongsian itu tidak menjatuhkan maruah saya, suami dan keluarga atau sesiapa pun, ia bukan isu besar dan tidak perlu diperbesarkan.

“Saya berkongsi video seperti itu kerana dunia media sosial semakin meluas dan ia juga tidak menjejaskan kerja kerana masih ada video persembahan nyanyian yang turut dikongsikan,” jelasnya.

Dalam pada itu, menepis dakwaan yang mengatakan dirinya berubah selepas berkahwin, Nabila mengaku dirinya masih orang yang sama, hanya orang terdekat sahaja mengenali dirinya sebenar-benarnya.

“Perkongsian video santai seperti itu dapat mendekatkan diri saya dengan peminat kerana sebelum ini ada pihak yang menganggap saya sukar didekati.

“Saya tidak berasakan ia perubahan luar biasa selepas berkahwin kerana mereka yang mengenali diri saya tahu saya memang begitu,” ujarnya.

Sumber: Harian Metro

Syamir Shafie