Nama Semakin Dikenali Gara-Gara Aksi ‘Panas’, Siti Hariesa Lebih Teliti Baca Skrip Sebelum Berlakon

Nama pelakon Siti Hariesa semakin dikenali selepas mencetuskan kontroversi gara-gara melakukan babak intim bersama Zul Ariffin dalam drama Perempuan Itu.

Memetik laporan Harian Metro, Hariesa mengatakan dia tidak mahu perkara seperti itu berulang dan akan lebih berhati-hati.

“Baik atau buruk, publisiti tetap publisiti. Kalau boleh, saya nak elakkan perkara sebegitu (kontroversi) terjadi lagi selepas ini,” katanya.

Menurutnya, dia menjadikan perkara itu sebagai satu pengajaran dan akan lebih meneliti skrip yang akan dilakonkan terlebih dahulu.

“Saya sudah ‘move on’ dengan kontroversi yang hampir meletakkan noktah pada kerjaya seni yang baru hendak bermula.

“Kejadian itu menjadi pengajaran dalam hidup saya. Jadi selepas ini saya akan lebih berhati-hati untuk meneliti skrip terlebih dulu. Kalau ada babak panas saya akan tapis.

“Saya lebih banyak mendiamkan diri ketika itu kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan yang sudah sedia tegang,” jelasnya.

Meskipun menerima kecaman hebat daripada netizen, dia tidak pernah terfikir untuk berputus asa atau berundur daripada kerjaya lakonan.

Malah, dia turut mendapatkan nasihat rakan-rakan pelakon semasa berdepan dengan kontroversi berkenaan.

Terdahulu, Siti Hariesa terpalit kontroversi gara-gara video ‘teaser’ yang memaparkan babak intim yang mengghairahkan bersama Zul tular di media sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu Video Petikan Drama ‘Perempuan Itu’ Papar Aksi Dukung Zul Ariffin & Siti Hariesa, Ini Kenyataan Rasmi TV3

ARTIKEL BERKAITAN: Mengaku Bersalah Kongsi Video Aksi Dukung Dengan Siti Hariesa, Zul Ariffin Mohon Maaf

Maya Basir