Naufal Azrin Didakwa Terpesong Selepas Keluar Nasyid – “Ada Netizen Anggap Saya Murtad”

Penyanyi Naufal Azrin mengakui dirinya menerima pelbagai kecaman selepas membuat keputusan untuk mengundurkan diri dan bergerak solo dari kumpulan nasyid, Zayne .

Terkenal dengan lagu Casablanca nyanyian bersama Nuha Bahrin, Naufal menyatakan ada sesetengah individu menganggap dirinya telah murtad dan terpesong, sekali gus memberikan tekanan buatnya.

“Ada netizen anggap saya ‘murtad’ kerana sebelum ini, menyanyi lagu nasyid, namun, sekarang tampil dengan lagu Casablanca.

“Sampai satu tahap, saya boleh jadi tertekan menerima kecaman teruk. Namun, tak guna saya larut dengan emosi.

“Saya tidak mampu menutup mulut orang. Sebagai penyanyi, saya perlu fleksibel dan terbuka mencuba banyak genre.

“Jika lagu seperti Casablanca boleh serlahkan bakat saya, jadi apa salahnya saya menyanyi pelbagai genre lain,” katanya.

Memetik laporan Berita Harian, penyanyi itu menyatakan hasratnya untuk mempelbagaikan kebolehannya sebagai seorang penyanyi.

“Saya pernah bergerak dengan genre nasyid, jadi pengalaman yang diperoleh dikembangkan dengan apa yang usahakan untuk ke arah arus perdana.

“Jujurnya, saya mahu menjadi penyanyi versatil. Saya boleh menyanyi lagu nasyid dan pelbagai genre lain,” katanya.

Biarpun sudah tidak bersama Zayne, kumpulan nasyid tersebut masih meneruskan berjuang mereka tanpanya.

Kini, Zayne dianggotai oleh Matin Muzzamil Mohd Ya’acob, Muhammad Furqan Fawwaz Salleh Sani dan Abdul Basit Zulkipli di bawah bimbingan kumpulan nasyid popular, Inteam.

Dalam perkembangan lain, Naufal juga memaklumkan dirinya terbuka untuk berduet dengan penyanyi lain.

“Selain ikut rencana syarikat rakaman, saya juga tidak menolak rezeki berduet dengan penyanyi Najwa Latiff,” katanya.

Sumber: Berita Harian

 

Fatin Nurain