Naufal Azrin & Nuha Bahrin Tampil Dengan Single Kedua ‘Iktiraf’

Lebih istimewa, pasangan duo yang terkenal menerusi lagu CASABLANCA ini tampil dengan lagu berjudul Iktiraf sebagai santapan rohani pendengar sepanjang bulan yang penuh dengan kemuliaan, kesyukuran dan keberkatan ini.

Menurut Nuha, Iktiraf mengajak seluruh umat Islam di dunia untuk sentiasa mengingati-Nya dalam setiap ujian atau cabaran yang ditempuh.

“Saya percaya ramai yang kenal dan tahu mengenai Iktiraf ini. Doa ini antara yang sering kita dengar atau baca setiap kali berdepan kesulitan. Doa ini mengingatkan kita untuk sentiasa mendekatkan diri kepada Maha Pencipta supaya jangan berhenti berdoa dan memohon keampunan daripada-Nya,” katanya.

Tambah Nuha, dia berasa bersyukur apabila proses rakaman lagu Iktiraf berjalan dengan lancar dengan bantuan pasukan produksi yang hebat.

“Alhamdulillah proses rakaman lagu ini berjalan dengan lancar. Dengan bantuan Naufal serta setiap individu yang terbabit dalam lagu ini segalanya berjalan dengan mudah.

“Saya harap peminat akan menyukai lagu yang dibawakan ini dan sama-sama kita rebut dan gandakan pahala di bulan penuh kemuliaaan ini,” katanya.

Ditanya mengenai pengalaman ketika menjalani proses rakaman video muzik Iktiraf, Naufal berkata, proses rakaman lagudan muzik video dibuat dalam tempoh satu hari.

“Proses rakaman dan muzik video dibuat pada hari yang sama. Kami tidak berdepan sebarang kesukaran untuk membawakannya. Malah ketika merakamkan lagu ini kami berdua berasa bertuah sekali kerana dapat mengajak pendengar dan peminat untuk menghayati lagu ini dengan hati terbuka,” katanya.

Iktiraf sudah boleh didengari di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music manakalah muzik video Iktiraf yang berdurasi 2 minit 55 saat ini sudah boleh ditonton di YouTube Masyhur sejak 28 Mac lalu.

Nurul Hana