Nelydia Senrose Terkesan Uqasha Senrose Dilabel Pembuli – “Nama Jadi Sebutan Tapi Dia Tak Suka Pergi Sekolah Sebab…”

Pelakon cantik Nelydia Senrose menyatakan rasa sedih terhadap kejadian yang menimpa kakaknya, Uqasha Senrose dituduh seorang pembuli oleh individu yang dipercayai rakan sekolahnya.

Menurutnya, sebagai seorang yang rapat dengan Uqasha, dia hanya mampu memberi semangat buat kakaknya untuk terus kuat menghadapi ujian ini.

“Saya sangat sedih dan terkesan juga dengan tuduhan Uqasha sebagai pembuli itu. Kami pula terlalu rapat, tinggal tidak jadi kembar sahaja. Dari kecil apa yang orang kata kepadanya, saya akan terasa.

“Apa yang saya boleh buat adalah dengan meminjamkan semangat dan cuba yang terbaik ada dengan dia sebanyak mungkin,” katanya.

Pada masa sama, Nelydia turut memberitahu kakaknya tidak mempunyai ramai kawan walaupun namanya sering menjadi sebutan.

“Saya kenal Uqasha bukan sebab dia kakak saya tetapi dia sendiri memang orang baik dan seorang yang sangat lembut hati.

“Seingat saya, Uqasha seorang yang tak suka pergi ke sekolah kerana tidak ramai kawan walaupun namanya menjadi sebutan.

“Malah, saya selalu nampak dia makan dan balik sekolah seorang diri. Mungkin ini drama sekolah menengah. Kadang-kadang orang tidak suka kita walaupun kita tidak berbuat apa-apa,” jelasnya.

Nelydia ditemui semasa di majlis berbuka puasa Rizman Ruzaini di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Namun, dia sebagai adik percaya jika Uqasha pernah membuli rakan sekolahnya itu, kakaknya pasti akan bertanggungjawab.

“Saya percaya kalau Uqasha pembuli pun yang mana saya sendiri tahu dia tidak buat, saya rasa dia tidak ada masalah untuk tampil memohon maaf.

“Hati dia lembut. Dia sampai tanya dekat saya jika pernah berlaku isu tersebut sebab risau dia lupa jika betul dirinya seorang pembuli.

“Kalau ada bukti kukuh dan ada orang lain yang tampil mendedahkan dia juga mangsa buli Uqasha, kami akan tengok apa yang boleh buat seterusnya,” ujarnya.

Terdahulu, nama Uqasha dipetik gara-gara dia didakwa seorang pembuli semasa di sekolah menengah yang berlaku 15 tahun lalu.

Tidak berdiam diri, Uqasha telah membuat laporan polis terhadap seorang wanita yang mendedahkan kononnya menjadi mangsa buli sejak zaman sekolah.

Maya Basir