Nico G Yakin KL Hip Hop Festival 2019 Mampu Cungkil Bakat Pengikut Muzik Hip Hop Malaysia!

BSync Live, sebuah produksi hiburan dengan kerjasama NICO G Entertainment, syarikat milik kumpulan NICO G, mengumumkan hari ini bahawa mereka akan menganjurkan sebuah pesta Hip Hop yang digelar KL Hip Hop Festival 2019™(KLHHF 2019) pada 14 Disember 2019  di UDG KL @ Ruang by Think City, Jalan Hang Kasturi, Kuala Lumpur, berhadapan dengan Pasar Seni (Central Market).

Acara tersebut menampilkan bintang-bintang Hip Hop yang lit dan legend seperti NICO G, Ruffneck Clique, Lawalah Familia, Balan Kash, The Great San, Sxph, Delaflare dan Budak Belakang.

Persembahan KLHHF 2019 bakal digamatkan dengan persembahan pembukaan oleh Chico & TAC Gang, FK Blunt dan 81 Agenda Records, dan digegarkan dengan alunan muzik tanpa henti sepanjang acara berlangsung daripada GOLDSOUNDS DJS, Kuala Lumpur.

Menuruh Pengarah BSync Live, Adam Sofian Mazlan, KLHHF 2019 merupakan sebuah projek yang akan menjadi acara tahunan bagi memenuhi kalendar seni komuniti Hip Hop. Beliau percaya dengan kepakaran teknikal BSync Live dalam penerbitan dan pengurusan konsert digabungkan dengan pengalaman dan pengaruh NICO G yang menjangkau hampir tiga puluh tahun dalam persada seni, khasnya perjuangan irama Hip Hop adalah satu kolaborasi yang tepat dan bakal menjanjikan kelainan.

KLHHF 2019 mensasarkan golongan muda berumur 15 tahun sehingga lewat 20an dan keluarga yang mempunyai anak-anak yang berumur antara 7 hingga 15 tahun. Selain daripada persembahan pentas oleh artis-artis Hip Hop tempatan, terdapat pelbagai acara lain yang telah dirancang bagi setiap lapisan masyarakat yang disasarkan antaranya termasuklah senaman zumba, kelas tarian Hip Hop, tapak papan luncur, lukisan grafiti secara langsung oleh pelukis-pelukis grafitti serta jualan makanan fusion dan barangan bertemakan seni dan muzik oleh peniaga-peniaga tempatan di Dataran Jam yang terletak di hadapan UDG KL.

KLHHF 2019 turut membuka peluang kepada anak-anak muda yang mahu menyerlahkan bakat  mereka di pentas Open Mic, dengan membuat persembahan secara solo atau duet selama 10 minit. Penyertaan dibuka kepada 30 peserta terawal yang berdaftar dengan NICO G Entertainment melalui emel nicog.entertainment@gmail.com. Setiap penyertaan hendaklah disertakan dengan pembelian tiket KLHHF 2019 yang sudahpun mula dijual melalui aplikasi TicketApps, yang boleh dimuatturun di Google Play mahupun Apple Store.

Bagi mereka yang berminat untuk hadir, KLHHF 2019 menawarkan promosi harga tiket serendah RM45 bagi pembeli-pembeli awal melalui aplikasi TicketApps dan pembeli akan menerima satu kit permulaan Nano Stix bernilai RM148. Promosi ini terhad buat 300 tiket terawal dan pembeli hendaklah berumur 18 tahun ke atas. Bagi pengunjung-pengunjung yang membeli tiket pada hari acara berlangsung harga tiket yang dikenakan adalah RM60.

Sebagai pelopor irama Hip Hop di Malaysia, NICO G percaya acara seperti KLHHF 2019 mampu mencungkil bakat-bakat baharu di kalangan pengikut dan penyokong komuniti Hip Hop yang kian hari menampakkan perkembangan yang sungguh memberangsangkan.

NICO G yakin dengan kreativiti dan bakat yang ada, karya-karya bermutu dapat diangkat ke pasaran yang lebih luas sebagaimana yang telah dilakukan oleh mereka bagi album terbaharu berjudul Black Edition. Sebelum ini NICO G pernah menganjurkan Hip Hop Showcase by NICO G™ sebanyak dua kali dan menerusi gig tersebut, NICO G telah berjaya mencungkil ramai bakat baharu termasuk rapper dan komposer bernama DelaFlare, yang merupakan salah seorang penulis lirik lagu terbaharu nyanyian NICO G berjudul KGB™. 

Ikuti akaun media sosial NICO G untuk maklumat lanjut dan informasi terkini mengenai KLHHF 2019 seperti berikut: 

www.facebook.com/nicogentertainment

www.instagram.com/nico_group

www.twitter.com/@nico_group 

 

Kredit Foto: Instagram @nico_group

Del14