Nikah Teman Lama, Issey Akhiri Zaman Duda

Penyampai radio Suria FM, Issey atau nama sebenarnya Fazlisham Mat Hussin, 32, sah menjadi suami kepada Noor Aimi binti Mohamed Jamel, 32, dengan sekali lafaz pada pagi Ahad, 22 Disember 2019 di Calamaya Garden, Kota Bahru, Kelantan.

Issey dan Noor Aimi dinikahkan oleh Timbalan Imam Masjid Mukim Pauh Panji, Ustaz Tengku Mahmud bin Tengku Haji Ibrahim dengan mas kahwin berupa sebentuk cincin dan senaskah Al-Quran.

Majlis tersebut disaksikan kira-kira 200 orang tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga dan teman-teman rapat.

Terdahulu, Issey memberitahu, dia dan isteri yang dikenali sejak zaman sekolah, sepakat melangsungkan pernikahan di Kota Bharu, Kelantan.

“Saya bakal bernikah dengan kenalan lama zaman sekolah. Dia adalah ibu tiga anak dan bertugas sebagai pengurus sumber manusia di sebuah syarikat swasta,” katanya yang berkongsi berita gembira itu melalui video yang dimuat naik di Instagram.

Sebelum ini, Issey atau nama sebenarnya, Fazlisham Mat Hussin, 32, pernah mendirikan rumah tangga dengan Syuhadaa Syafiqqa Abdul Rashid pada 19 Mac 2015.

Namun, mereka berpisah setahun kemudian dan tidak dikurniakan cahaya mata.
SGMS Faida