Noniswara Ralat Suami Pergi Terlalu Awal, Anggap Anak Tiri Sebagai Amanah – “Saya Bukan Pelawat, Saya Adalah Isteri”

Pelakon Datin Seri Noniswara Baharuddin mengakui hilang kasih sayang selepas suaminya Datuk Seri Dr Sheikh Nordin Sheikh Ahmad menghembuskan nafas terakhir akibat strok, minggu lalu.

Menurut Noniswara, dia berasa ralat apabila suaminya itu ‘pergi’ terlalu awal namun tetap reda.

Malah, Nonis berkata, dia dan arwah suaminya itu sangat akrab selama perkahwinan yang dibina.

“Saya sebenarnya nak dekat dengan kubur arwah. Rindu sangat, walaupun dia dah pergi, sekurangnya saya dapat pergi ke kubur luahkan perasaan saya.

“Dia suka sakat saya, saya rindu sangat, susah nak lupa. Dia seseorang yang suka berbual dan suka ‘call’ saya, bila dia dah tiada, saya rindu nak dia ‘call’ saya.

“Perkahwinan saya selama 7..8 tahun, saya selalu bersama dia. Saya tidak bergantung 100 peratus pada dia. Saya masih berlakon. Tempat bergantung kasih sayang itu ya.

“Saya ralat, dia pergi terlalu awal, bila arwah dah tiada, baru saya kenang balik. Sejak akhir-akhir ini, dia juga sering nyanyi lagu berkaitan perpisahan.

“Saya dah hilang kasih sayang, saya rasa macam ‘lost’. Tak tahu macam mana nak ‘move on’. Bukan saya tak reda tapi sebab saya terlalu akrab dengan dia,” ujarnya dalam temu bual bersama program hiburan popular TV3, Melodi.

Tambah Nonis, dia bersyukur berada disamping suami tercinta ketika di penghujung hayat suaminya itu sekali gus menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mempersoalkan keberadaannya semasa suaminya sedang bertarung nyawa.

“Ketika hari terakhir, saya tengok dia nazak, saya cakap padanya saya reda. Kami sekeluarga semua ada hingga penghujung hayat dia. Saya takkan lupakan semua itu.

“Daripada awal sakit sampai penghujung hayat saya bersama dengan arwah. Netizen di luar sana cakap ‘mana saya ketika arwah sakit, saya tiada’. Itu fitnah. Takkan kita nak tinggal orang yang kita sayang.

“Saya bukan pelawat, saya adalah isteri. Bukan saya seorang, anak-anak saya (anak tiri) tetap anak kita juga. Darah daging suami saya juga. Orang yang suami saya sayang, saya hargai juga,” katanya.

Disoal mengenai apakah status dirinya, Nonis enggan mengulas lanjut perkara itu. Malah, Nonis menafikan dia berkahwin dengan suaminya itu semata-mata mahukan gelaran Datin Seri.

“Bila dah meninggal ada yang bercakap-cakap, saya tak setuju. Arwah adalah orang yang baik. Kalau orang buat fitnah, saya nafikan. Saya abaikan, tak mahu perbesarkan isu. Tak apalah, jawablah di akhirat nanti.

“Saya tak boleh jawab, hanya Allah saja yang tahu. Orang nak kata apa, katalah. Saya tahu dimana tempat saya berdiri. Bukan saya nak gelaran.

“Saya okey saja orang panggil saya Nonis. Yang penting saya bersama suami saya. Saya bukan nak hadap gelaran Datin atau Datin Seri,” jelasnya.

Dalam pada itu, Nonis mengakui dia tidak kisah sekiranya hidup bermadu dengan isteri pertama suaminya itu. Malah turut menganggap anak-anak tirinya sebagai amanah yang ditinggalkan suaminya.

“Saya tak kisah kalau bermadu pun apa masalahnya. Orang kata madu itu manis. Saya terima kalau kata awal suami saya berterus terang dengan saya tetapi tidak.

“Bukan saya tak nak ambil tahu tapi saya seorang yang lurus bendul. Bila jadi begini, saya terima. Dia madu saya pun okey sebab arwah dah tiada. Kami nak hidup aman damai.

“Jika dia pun ‘claim’ dia masih isteri, saya akui dia madu saya. Saya anggap mereka macam keluarga saya. ‘She a nice lady’. Saya kenal dia ketika arwah sakit. Dia datang.

“Saya menghormati dia, dia orang baik. Ketika di hospital kami baik je, bersalam-salaman.

“Walaupun anak tiri…darah daging suami saya. Kenapa kita nak benci. Mereka tetap anak saya, saya terima. Itu amanah suami saya, walaupun mereka ada ibu, tak salahkan ada ibu kedua,” tutupnya.

Nonis berkahwin dengan usahawan berkenaan sejak sembilan tahun lalu. Bagaimanapun, tidak dikurniakan cahaya mata.

Allahyarham Sheikh Nordin juga bapa mentua kepada penyanyi MK K-Clique. MK atau Muhammad Hairi Amin Hamdan, 27, berkahwin dengan Siti Hajaar Sheikh Nordin pada 16 Jun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa Mentua MK-Clique Meninggal Dunia

ARTIKEL BERKAITAN: “Mereka Tak Pernah Bercerai” – Isteri MK K-Clique Tampil Bersuara Isu Status Rumah Tangga Ibu & Arwah Bapa

Khairil Khusyairi