Categories: Filem

Dokumentari ‘Man On The Run’ Dedah Kisah Skandal 1MDB, Bakal Ditayangkan 19 Oktober Ini!

Sebuah filem dokumentari yang berjudul Man On The Run (MOTR) yang mengangkat kisah skandal 1MDB bakal ditayangkan di pawagam, 19 Oktober ini.

Sebelum ini, kisah skandal 1MDB antara kejadian yang mendapat perhatian di seluruh dunia dan menggemparkan Malaysia.

Malah, skandal kewangan ini telah melibatkan bekas Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama seorang individu yang sedang diburu iaitu Jho Low.

Untuk makluman, Jho Low merupakan seorang ahli perniagaan misteri serta playboy dengan merancang mengeksploitasi dana kekayaan Malaysia menerusi apa yang diketahui umum sebagai 1MDB.

Menurut pengarah Cassius Michael Kim, dia tertarik untuk menghasil filem dokumentari ini kerana liputan yang cukup meluas terhadap kisah 1MDB ini.

“Walapun ia mendapat liputan yang meluas, namun masih ramai lagi yang tidak tahu tentang perjalanan sebenar mengenai skandal ini dengan lebih mendalam.

“Jadi, filem ini akan memberi penerangan terhadap apa yang berlaku, terutama sekali untuk mereka yang mengikuti perkembangan kes ini,” katanya.

Dalam pada itu, filem dokumentari ini turut mendedahkan kisah benar yang berkaitan rasuah dan pengkhianatan yang menggegarkan kestabilan kewangan seluruh negara.

Dengan kerjasama Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak, Low dipercayai menyalurkan berbilion-bilion duit ke dalam akaun bank global untuk memupuk gaya hidupnya yang mewah, termasuk pesta Hollywood dan bahkan membiayai pembikinan filem The Wolf Of Wall Street.

Lebih menarik lagi dokumetari ini juga akan membongkar rangkaian rasuah serta mendedahkan kesan mendalam skandal kewangan yang besar ini berdasarkan ‘penyelidikan’ yang dilakukan oleh Cassius Michael Kim .

Tambah Cassius, pihaknya dapat membuat temu bual dengan individu serta pihak yang mempunyai hubung kait dengan kisah 1MDB ini.

Bagaimanapun, dia tidak menafikan dia berdepan dengan cabaran apabila ada segelintir yang tidak mahu ditemu bual untuk menjayakan filem dokumentari ini atas sebab-sebab tertentu.

“Apa yang paling menarik perhatian apabila kami dapat membuat temu bual dengan individu terdekat yang dikaitkan dengan skandal ini iaitu Datuk Seri Najib sendiri.

“Sepanjang wawancara bersamanya, saya akui cukup kagum dengan keupayaannya untuk menjawab setiap soalan yang diberikan,” jelasnya.

Sementara itu, Cassius yang juga penerbit eksekutif berharap agar MOTR dapat memberi penerangan kepada orang ramai terhadap keburukan yang berlaku kesan terhadap skandal tersebut.

“Mengenai Jho Low pula, saya juga mengharapkan agar dia akan dibawa ke muka pengadilan suatu hari nanti. Cuma mungkin ia agak sukar dan khabarnya dia kini sedang berada di Macau atau China.

“Sudah tentu saya sangat berminat untuk membuat wawancara dengannya jika saya ada peluang untuk berbuat demikian,” jelasnya.

Fatin Nurain