Penyanyi Popular Tak Bayar Sewa Rumah & Bil Elektrik, Tuan Rumah Buat Laporan Polis

Satu laporan polis telah dibuat seorang wanita terhadap penyanyi lelaki popular era 90-an yang didakwa gagal menjelaskan tunggakan sewa rumah mencecah RM3,000 sejak Jun lalu.

Menurut laporan Harian Metro, penyanyi itu juga didakwa mempunyai tunggakan bil elektrik mencecah RM6,770.

Difahamkan, wanita tersebut sudah berjumpa dan berkomunikasi melalui telefon bagi membincangkan perkara itu dan meminta penyanyi itu keluar dari rumah itu.

Malah, notis mengosongkan rumah turut diberikan dan diterima oleh isteri penyanyi terbabit, namun tidak diendahkan dan kekal duduk di rumah itu.

Lebih parah, penyanyi itu juga didakwa sering membuat bising dan merosakkan harta jiran. Malah, dikatakan turut memelihara banyak kucing yang mengakibatkan bau busuk, membuang sampah merata-rata sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati jiran.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Ada laporan diterima berkaitan perkara ini. Pengadu buat laporan kerana takut terjadi apa-apa.

“Pengadu cuba selesaikan perkara ini secara baik dengan penyewa,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Khairil Khusyairi