Nur 2 Bukan Untuk Kanak-Kanak, Pengarah Respon Teguran Warganet

Jalan cerita drama Nur 2 nampaknya semakin hari semakin mendebarkan! Apatah lagi sejak kemunculan watak Juita yang cuba menggoda Ustaz Adam. Geram je tengok kan?

Penampilan watak daring itu nampaknya menarik perhatian netizen yang menegur drama itu dilihat tidak sesuai ditonton oleh kanak-kanak.

Pengarah drama bersiri Nur 2, Shahrulezad Mohameddin tampil di Instagramnya memberitahu bahawa Nur 2 tidak sesuai ditonton oleh kanak-kanak.

Katanya, mungkin ada yang masih belum faham kenapa Nur 2 diklasifikasikan sebagai P13 untuk siaran kali ini dan bukan klasifikasi U.

“ Ada sebab kenapa drama Nur 2 ditayangkan pada slot Samarinda jam 10 malam dan bukannya slot Akasia siaran petang.

“ Terus-terang, Nur 2 yang mengisahkan dunia pelacuran tidak sesuai untuk tontonan kanak-kanak. Remaja mungkin, itu pun ibu bapa kena guna peluang ini sebagai alat mendidik anak terutamanya berkaitan pembelajaran seks dan sebagainya,” katanya.

Katanya, drama Nur 2 bukan untuk tontonan kanak-kanak dan ibu bapa harus bertanggungjawab sama dalam mengawal kandungannya buat anak mereka.

“ Abam bukan buat Nur 2 untuk kanak-kanak. Kandungan untuk kanak-kanak adalah di siang hari bukan malam. Malam selalunya untuk tontonan dewasa terutamanya pada jam 10 malam ke atas. Pilihan di atas kita sendiri,” tulisnya.

Dalam entri berkenaan, Shahrulezad turut memaparkan tangkap layar (screen shot) seorang warganet yang mengecam musim kedua ini terlalu banyak babak terlampau.

Fenomena Nur nampaknya masih belum berakhir memandangkan warganet sangat aktif memberi maklum balas mengenai drama yang dibintangi oleh Syafiq Kyle dan Amyro Rosli.

Jangan lupa saksikan jam 10 malam ini di TV3, agaknya apa lagi si Madi nak buat malam ni eh?

 

SGMS Faida