“Orang Kata Kahwin Ni Pun Salah Satu Jalan Taubat…” – Syamsul Yusof Jawab Status Ira Kazar Sedang Hamil, Mohon Doa Yang Baik-Baik

Pengarah dan pelakon popular, Syamsul Yusof menafikan dakwaan kononnya isteri keduanya, Ira Kazar kini sedang berbadan dua.

Memetik laporan Harian Metro, Syamsul berkata, sekiranya perkara yang dicanang itu benar, maka dia sendiri akan memaklumkan kepada umum sekaligus menyifatkan berita yang tular itu sebagai fitnah semata-mata.

“Itu adalah fitnah. Saya dapat tahu pun dari kenalan saya tapi kalau mengandung pun, Alhamdulillah.

“Tapi saya nak jelaskan,  kalau orang itu (Ira) mengandung, Alhamdulillah. Apa yang tak boleh?

“Jadi jujur saya beritahu tiada (mengandung). Kalau mengandung, saya akan maklumkan. Tapi kalau nak cakap sebegitu nak buat macam mana, saya cakap Alhamdulillah sajalah. Doakan yang baik-baik, tapi tiada (mengandung),” katanya.

 

Reda dengan ujian yang menimpa, Syamsul berkongsi sejak konflik melanda, dirinya tidak berhenti ditimpa pelbagai ujian dan fitnah termasuk ada yang ingin memboikot filem arahan dan terbitannya.

“Berkenaan saya mampu atau tidak beristeri dua, doa sajalah saya boleh jadi suami yang baik dan adil. Kita kahwin ini pun adalah salah satu jalan taubat. Jadi nak kata apa, katalah.

“Seperti rezeki mahu boikot filem saya, jujurnya ada rasa sedih juga tapi saya seorang yang mudah. Saya percaya rezeki dari Allah. Kalau Allah bagi rezeki, alhamdulillah. Orang boikot ada sebab dan saya bersyukur.

“Saya sudah melalui banyak fasa. Saya hadapi sajalah,”jelasnya.

Malah, dia juga sedar isteri keduanya itu sering menjadi sasaran kecaman netizen, namun dia berpesan supaya Ira sentiasa bersabar dan menganggap apa yang berlaku ada hikmah disebaliknya.

“Dia atau Sarah sekalipun pasti akan terkesan. Tapi saya pesan kepada Ira supaya bersabar kerana ini ujian dan setiap ujian itu pasti ada hikmah,” ujarnya.

Terdahulu, Syamsul memfailkan permohonan nusyuz terhadap isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada Selasa.

Antara alasan yang diberikan termasuklah, meninggalkan rumah sejak Oktober 2020, kedua masih menghubungi bekas kekasihnya dan ketiga enggan mematuhi notis nusyuz serta keempat sudah membuat fitnah terhadap Syamsul seperti memukul dan tidak memberi nafkah.

Untuk rekod, Puteri Sarah dan Syamsul mendirikan ruamh tangga pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu,  Syaikul Islam, 6, dan Summayah, 4.

 

Sumber: Harian Metro

Salma Syahbuddin