Categories: Drama

Tonton Apa Hari Ni: ‘Jaga Aku Selamanya’

Bukan mudah untuk menggalas tanggungjawab menjaga anak kecil. Apatah lagi apabila si penjaga itu masih berstatus kanak-kanak juga. Namun, itulah realiti kehidupan bagi sesetengah masyarakat. Situasi ini dipaparkan dalam drama Lestary terbaharu, ‘Jaga Aku Selamanya.’

Kisah ini memperkenalkan Maya (dilakonkan oleh Nadiya Nisaa) dan Syukri (dilakonkan oleh Johan As’ari)  merupakan pasangan suami isteri yang mempunyai lima orang anak. Keluarga mereka hidup dalam kemiskinan.

Pemergian Syukri yang berlaku secara tiba-tiba menyebabkan kehidupan Maya dan anak-anaknya menjadi huru-hara. Kehilangannya juga bermaksud kehilangan mata pencarian. Perkara ini telah mendesak Maya untuk berhijrah ke kota demi mencari rezeki. Anak-anaknya terpaksa ditinggalkan.

Maka tanggungjawab untuk menjaga mereka digalas oleh Azhar (dilakonkan oleh Baqir Jamalullail), anak sulung Maya yang hanya berusia 12 tahun.

Maya turut mengharapkan jirannya, Seri (dilakonkan oleh Farhana Fahizam), untuk menjadi perantara khabar berita dan bagi menghulurkan wang kepada Azhar apabila dia menerima gajinya. Namun, bak kata pepatah, harapkan pagar, pagar makan padi. Wang yang dikirim untuk anak-anaknya telah digunakan oleh Seri bagi tujuan lain.

Akibatnya, Azhar dan adik-adiknya hilang punca untuk membeli makanan. Sebagai seorang abang yang bertanggungjawab, Azhar telah mengambil upah untuk bekerja di sebuah restoran bagi memastikan adik-adiknya tidak kelaparan.

Situasi kewangan mereka juga membawa kepada mereka dihalau oleh pemilik rumah kerena tidak mampu membayar sewa.

Hayati kisah perjalanan anak beranak ini yang sesungguhnya meruntun hati.

Cerita Apa? ‘Jaga Aku Selamanya’
Hari Apa? Setiap Rabu – Sabtu
Jam Berapa? 9 malam
Di Mana? TV3 & Strim Langsung di Tonton

Afiqah Azizan