Pablo Amirul Pernah Tak Puas Hati Dengan Pihak TUDM Gara-Gara….

Pelakon yang popular dengan watak antagonis, Pablo Amirul mengakui pernah berkecil hati dengan cara layanan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) semasa sesi latihan dan penggambaran filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa.

Menurutnya, dia pernah dimarahi dan dilayan dengan tegas oleh pihak tentera kerana mengendalikan senjata dengan cara yang salah.

“There’s a time yang I made a mistake, terutamanya ketika mengendalikan senjata, mereka (tentera) marah saya dan memang ada terasalah sebab saya pelakon bukan tentera. So logiklah kalau perasaan tu ada,” katanya.

Namun, Pablo menjelaskan dia sedar layanan bertujuan untuk memastikan karakternya berjaya dan ia akan menggambarkan pihak tentera dengan cara yang betul.

“Tak puas hati saya adalah layanan dan cara kami dilayan. Lama-lama setelah dah berlalu, baru saya sedar rupanya latihan yang tegas, disiplin yang tinggi dan apa sahaja yang cuba diserapkan oleh tentera ini sebenarnya untuk pastikan kita kelihatan baik dan menggambarkan mereka dalam cara yang sebenar,” jelasnya.

Pablo ditemui semasa di majlis pratonton dan sidang media Air Force The Movie: Selagi Bernyawa di GSC, Mid Valley Megamall.

Tambahnya, yang paling mencabar adalah untuk bergerak sebagai seorang Pasukan Khas Udara (PASKAU) dan latihan bagi setiap pelakon adalah berbeza mengikut kepakaran masing-masing.

“Kalau katakan apa yang paling mencabar dalam filem ini bagi saya adalah latihan dan cara untuk menjadi seorang PASKAU. Terima kasih kepada TUDM untuk menjadikan pelakon-pelakon yang terlibat menjalani latihan yang cukup ketat.

“TUDM menggunakan cara terbaik untuk melatih pelakon-pelakon ni dalam masa sebulan boleh jadi seperti PASKAU yang dilatih selama enam bulan.

“Setiap orang mempunyai latihan yang berbeza. Sebab setiap unit PASKAU ada kepakaran yang berbeza. Jadi kami dilatih mengikut kepakaran masing-masing,” ujarnya.

Maya Basir