Paduan Suara Tomok, Black Bakal Bergema Di DFP 28 November

Siapa sangka angan-angan mereka berdua untuk bernyanyi di pentas gah akhirnya menjadi kenyataan?

Dua penyanyi terkenal tanah air, Tomok dan Black Hanifah bakal bergabung di pentas Dewan Filharmonik Petronas pada 28 November ini.

Keterujaan Tomok dan Black ketika ditemui di sidang media konsert Tomok VS Black- In The Spotlight terserlah memandangkan ini merupakan persembahan sulung mereka di pentas berprestij itu. 

” Berdebar namun hati memang gembira untuk jumpa para peminat setia kami di sana. Saya dan Tomok bakal menghiburkan penonton lebih daripada 20 buah lagu pada hari tersebut.

” Pastinya, memang akan ada kejutan. Kalau nak tahu apa kejutannya, anda kena dapatkan tiket segera,” kata Black.

Dalam masa sama, Tomok memaklumkan mereka sudah mula membuat persediaan rapi menjelang hari konsert.

” Rutin harian kami turut berubah contohnya kami lebih rajin ke gimnasium dan berlari sekurang-kurangnya 5 kilometer setiap hari.

” Ini bagi memastikan stamina kekal bertenaga memandangkan saya sendiri mungkin akan membawakan sebanyak 14 buah lagu begitu juga dengan Black. Stamina elok, tidaklah kami semput,” katanya.

Duo popular ini bakal membawakan lagu terbaru berjudul Rempuh yang merupakan runut bunyi untuk filem Polis Evo.

Black dan Tomok menjanjikan persembahan luar biasa pada malam itu nanti. Mereka akan diiringi oleh band pengiring yang mendapat sentuhan pengarah muzik, Johan. 

Tiket untuk menyaksikan konsert ini berharga RM 180 dan boleh didapati di kaunter Box Office atau layari www.mpo.com.my. 

 

SGMS Faida