Peguam Penyerang Kamal Adli Mohon Penilaian Psikiatri Kali Kedua

Peguambela Wee Hong Shern dari Ong & Co. LLC yang mewakili individu yang didakwa memukul pelakon, Kamal Adli  memaklumkan kepada Mahkamah Singapura bahawa pihaknya telah meminta jabatan penjara republik itu dan Institut Kesihatan Mental (IMH) menjalankan satu lagi penilaian psikiatri ke atas anak guamnya.

Menurutnya, terdapat isu dengan laporan perubatan individu terbabit.

“Saya bukan pakar, oleh itu saya minta pihak penjara dan IMH membuat penilaian lain ke atasnya (tertuduh). Hasilnya akan lebih baik jika kita mendapat penangguhan yang lebih lama.

“Dalam temu bual saya (dengan tertuduh) nampaknya ada isu dengan laporan perubatannya… perkara yang tidak sepadan,” katanya.

Bagaimanapun, Hakim Daerah Terence Tay yang mendengar permohonan itu berkata, dia lebih suka memberikan penangguhan yang lebih singkat dan menetapkan tarikh 13 Julai sebagai sebutan kes.

“Apabila saya melihatnya, (dia) agak berbeza daripada laporan perubatan, nampak sesal.
“Semoga kami dapat melakukan diagnosis baharu sekali lagi. Saya sudah memintanya. Saya harap mereka bersetuju,”jelasnya.
Pada Mac lalu, mahkamah memerintahkan lelaki berusia 33 tahun  itu direman selama tiga minggu untuk menjalani penilaian psikiatri di institut terbabit.
Dan, pada 14 Mac lalu,  individu terbabit didakwa di Mahkamah Negeri kerana disyaki terlibat dalam kes menyebabkan kecederaan dengan senjata berbahaya secara sukarela dan  boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, denda, rotan, atau mana-mana kombinasi hukuman tersebut jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan bagi pertuduhan menyebabkan kecederaan secara sukarela dengan senjata berbahaya.
Sumber: Sinar Harian
Salma Syahbuddin