Penaja Utama ABPBH35 Perjelas Hadiah Milik Bell Ngasri, Janji Beri Pakej Umrah Paling Istimewa

Penaja utama Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-35 (ABPBH 35) iaitu Fellera Skin, Sharifah Khayra Muhsin tampil memberi penjelasan berkaitan isu tular tentang hadiah milik pemenang Bintang Paling Popular, Bell Ngasri.

Menerusi sebuah video tular di platform TikTok, Sharifah selaku pengasas Fellera Skin berkata hadiah pakej Umrah yang diberikan kepada Bell akan menjadi satu hadiah istimewa terutamanya ketika berada di sana.

“Ramai yang tanya saya kenapa tak ada hadiah kereta, wang tunai tak akan sekadar pakej Umrah sahaja kan? Ok sini saya ceritakan.

“Jika pada tahun sebelum ni ada pemenang yang dapat menerima kereta itu adalah daripada penajaan syarikat kenderaan itu sendiri.

“TV3 dan Berita Harian memang hanya menyediakan trofi sebagai penghargaan. Macam saya sendiri hanya mengeluarkan satu kos untuk menaja keseluruhan program.

“Tapi saya membuat penambahan iaitu memberi hadiah pakej Umrah kepada Bell Ngasri.

“Bukan sahaja kerana dia menang Anugerah Bintang Paling Popular, tapi saya berbincang dengan suami saya katakanlah malam tu Bell tak menang sebagai Bintang Popular pun kami tetap akan berikan pakej Umrah padanya.

“Saya pun tak sangka sebenarnya selepas bagi tu baru saya tahu yang Bell bernazar untuk pergi ke Umrah sekiranya dia menang Bintang Paling Popular.

“Perjalanan Umrah Bell bukan satu perjalanan biasa, kita akan memberi satu layanan Insya-Allah istimewa kepada Bell yang bagi saya tak dapat digambarkan ataupun dijual beli, tak dapat nak dibandingkan dengan hadiah kereta dan wang tunai,” katanya.

Sementara itu, Sharifah berkata pihaknya juga telah merancang untuk mengadakan sebuah majlis makan malam untuk meraikan kesemua pemenang, dan finalis-finalis ABPBH 35.

Bukan itu sahaja, Sharifah mendedahkan akan menambah hadiah istimewa kepada Bell atas satu penghargaannya selama 37 tahun berkecimpung dalam industri seni.

“Kami sebenarnya sudah merancang untuk mengadakan majlis makan malam untuk menghargai semua pemenang termasuklah top 20, top 5 dan semua ahli kerja yang menjayajan Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-35 (ABPBH 35) pada bulan Ogos nanti.

“Dan pada malam itu kami akan mengumumkan hadiah tambahan kepada Bell untuk menghargai Bell dan keluarganya,” akhirnya.

Aqilah Paharuzi