Menang ABPBH 35, Amir Ahnaf Tak Sabar Lebarkan Sayap Ke Indonesia & Hollywood!

Pertama kali merangkul trofi BBNU Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-35 (ABPBH 35) menjadikan aktor, Amir Ahnaf lebih bersemangat dalam industri seni.

Tidak menjangkakan kemenangan ini, Amir bagaimanapun bakal melebarkan sayap dalam kerjayanya ke negara seberang, Indonesia demi menjayakan penggambaran bersama pengarah terkenal.

“Saya tak jangkan kemenangan ini, saya sangat bersyukur atas penganugerahan ini dan terima kasih kepada peminat-peminat yang mengundi.

“Saya tak sabar untuk melebarkan sayap saya ke Indonesia tidak lama lagi dan Insya-Allah ke Hollywood.

“Minggu depan saya akan mulakan penggambaran di Indonesia selama sebulan untuk sebuah filem genre seram bersama aktres Atilah Hasiholan yang diarahkan oleh Andibachtiar Yusuf,” katanya.

Menjelaskan secara terperinci mengenai rancangannya ke Hollywood, Amir berkata berlakon di negara tersohor tersebut adalah salah satu impian yang cuba diterapkan dalam diri sendiri.

“Actually tak ada offer daripada mana-mana pun dari Hollywood cuma itu adalah salah satu impian saya.

“Dari kecil saya suka impikan untuk naik pentas, jadi saya nak biasakan dalam diri saya untuk terus bermimpi.

“Saya hanya menjadi diri sendiri, tak perlu nak beri tekanan pada diri sendiri sebab peminat saya faham saya dan cita-cita saya,” katanya.

Amir memenang kategori BBNU lelaki popular menewaskan rakan seperjuangan Mierul Aiman, Daniel Chuer, Fadhli Masoot dan Meer Nash.

Aqilah Paharuzi