ABPBH 35: Selepas Menang Pengacara Popular, Elly Mazlein Naik Harga? Ini Respons Tuan Badan

Pengacara, penyanyi dan pelakon popular, Elly Mazlein menafikan dakwaan bakal meletakkan harga yang tinggi setelah memenangi Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-35 (ABPBH 35) menerusi kategori pengacara TV popular.

Elly atau lebih mesra disapa Kak Lina Kepom berkata sebagai selebriti perlu berpijak pada bumi yang nyata.

Jelas aktres drama komedi Kampung People ini, dia hanya memikirkan kerjaya seni yang panjang, justeri Kak Lina berjanji tidak akan meletakkan harga yang tinggi demi kelangsungan hidup.

“Saya sejenis dimana kita kena sedar industri kita bukan macam Hollywood. Saya cuma setimpal dengan kerjaya saya lakukan.

“Dekat Malaysia ni tak boleh letak harga yang terlalu tinggi, kita kena sedar industri kita tidaklah besar mana.

“Apa yang paling penting pada saya kita kena fikir long term. Kalau kita fikir dalam masa singkat kita boleh letak banyak-banyak harga mungkin sekali je orang boleh panggil.

“Saya suka win-win situation. Paling penting saya happy nak buat program tu, lepas tu baru bincang harga.

“Jadi untuk meletakkan harga yang tinggi tu saya rasa ianya akan membunuh diri sendiri sebab sekali je orang bayar lepas itu dah orang tak nak bayar.

“Jadi saya memikirkan long term dan periuk nasi,” katanya.

Kak Lina memenangi kategori pengacara TV popular menewaskan Alif Satar, Sherry Alhadad, dan Hawa Rizwana.

Aqilah Paharuzi