Categories: HiburanSelebriti

Pengasas Kate Spade Ditemui Mati Tergantung

Gempar! Pengasas bag tangan terkenal, Kate Spade ditemui mati tergantung oleh pembantu rumahnya di kediamannya di kota New York, Amerika Syarikat semalam.

Pihak polis masih lagi menyiasat punca kematiannya jutawan berusia 55 tahun ini yang dipercayai akibat bunuh diri.

Kate atau nama sebenarnya, Katherine Noel Brosnahan yang dilahirkan di Missouri merupakan seorang bekas editor aksesori di majalah Mademoiselle sebelum dia dan Andy Spade berkolaborasi menubuhkan syarikat Kate Spade New York pada 1993.

Pasangan itu kemudiannya mendirikan rumah tangga setahun selepas menubuhkan syarikat bersama.

Jenama itu mula menjual beg tangan sebelum melebarkan sayap dengan menjual seleksi pakaian dan minyak wangi.

Selepas membina nama, pasangan itu kemudiannya nekad menjual jenama mereka pada 2006.

Pada 2016, mereka kemudiannya melancarkan satu jenama fesyen baharu, Frances Valentine yang menjual kasut dan aksesori wanita.

Kate Spade New York menerusi satu kenyataannya menyampaikan takziah di atas kematian pengasas mereka.

“Walaupun Kate sudah tidak lagi menjalankan sebarang urusan dengan Kate Spade sejak lebih sedekad lalu, namun Kate dan suami Andy merupakan pengasas dan pencipta kepada jenama yang disayangi ramai ini. Kate akan terus dirindui,” tulis kenyataan itu.

SGMS Faida