Pengusaha Kosmetik Di Luar Sana, Jom Debat!

Letih tapi proses kesedaran perlu diteruskan! Apa tidaknya, lambakan pil untuk cantik atau putih membuatkan pelatih jurubedah popular, Dr Amalina Che Bakri risau sekaligus ingin mengajak mana-mana pengasas produk termasuklah pembekal, pengaruh sosial media dan selebriti yang menjual untuk berdebat.

Menurut Dr Amalina, dia mencabar individu yang dikatakan ‘hebat’ dalam bidang berkaitan suplemen kecantikan ini membuktikan kesahihan dan keberkesanan produk yang dijual.

Idea ini datang selepas dicadangkan oleh netizen di laman Twitter yang mahukan satu saluran diwujudkan bagi membincangkan lambakan dan kesan mengenai produk-produk ini untuk memberi pengetahuan kepada umum.

Tulis Afsan Shamsuddin di Twitter, “ Di Malaysia ini sepatutnya ada satu saluran yang bercerita mengenai perkara berkaitan perubatan, barulah seronok untuk mendidik rakyat,”

Tambahnya, saluran itu bertujuan memberi kesedaran melalui perbincangan mengenai ubat atau makanan tambahan dalam pasaran dan memberi peluang kepada pengeluar membentangkan produk mereka di depan para doktor. 

Dalam masa sama, Dr Amalina juga kecewa dengan segelintir selebriti yang mempromosikan produk tanpa usul periksa.

“ Setiap suplemen dan ubat yang diambil perlu mendapat nasihat dari doktor yang bertauliah.

“Tindakan menjual, mempromosi dan mempengaruhi pengguna membeli ubat dan suplemen di atas talian tanpa memikirkan kesan sampingan, adalah tindakan tidak bertanggungjawab. Ia salah di sisi undang-undang!,” tulisnya. 

Kenyataan Dr Amalina itu turut mendapat sokongan pakar buah pinggang, Dr Rafidah Abdullah, yang tegar memperjuangkan isu berkaitan penyalahgunaan produk ubatan dan suplemen untuk tujuan kecantikan.

Kami harap misi Dr Amalina untuk menyelamatkan rakyat Malaysia daripada berterusan mengambil suplemen kecantikan yang tidak diiktiraf ini akan menjadi kenyataan. Syabas Dr, kami sokong usaha & perjuangan anda!

 

SGMS Faida