AJL38: Terbaik & Ikonik Dalam Sejarah… Janjikan Kepuasan Kepada Penonton

Terbaik dan ikonik dalam sejarah, itulah apa yang dapat digambarkan mengenai penganjuran Anugerah Juara Lagu Ke-38 (AJL38) yang bakal berlangsung malam ini di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Menurut Ketua Unit Produksi, Penjenamaan dan Hiburan TV3, Russell Mark Rodrigues, pasukannya berusaha memberikan kelainan baharu kepada penonton setia AJL38.

Buat julung kalinya, keseluruhan pentas pertandingan akhir itu menggunakan teknologi pencahayaan Light Emitting Diode (LED).

“Setiap tahun cabaran kami adalah untuk memastikan konsep dan tema dibawakan sentiasa segar dan baharu.

“Jadi pada penganjuran kali ini kami tampil dengan konsep teknologi dengan menggunakan 90 peratus LED di atas pentas

“Daripada segi saiz pentas pula, kali ini lebih besar yang mana kami tambah bahagian depan pentas selain membina menara tiga tingkat di sebelah kanan pentas,” katanya.

Russel ditemui pada sesi raptai AJL 38 di Axiata Arena, pada Jumaat.

Menurut Russell, AJL38 kali ini turut menyaksikan penggunaan pelbagai prop besar yang bakal memberi kejutan kepada peminat dan penonton.

“Istimewanya AJL 38 ini, apa yang saya boleh kongsikan, banyak prop besar dan unik akan digunakan pada persembahan setiap finalis.

“Kami mengambil kira semua idea yang dikemukakan dan dalam masa sama, kami juga menitik beratkan soal keselamatan kerana setiap finalis mempunyai idea yang cukup kreatif,” katanya.

Alami dunia Muzikaverse di AJL38, bersiaran langsung dari Axiata Arena, Ahad, 3 Mac, 9.00 malam, di TV3 & strim juga melalui Tonton.

Dibawakan khas oleh penaja utama, Alha Alfa dan rakan penaja, U Mobile. Turut memeriahkan musim ini adalah OhBulan!, XTRA dan Seismik sebagai rakan digital, serta Hot FM sebagai rakan radio.

Khairil Khusyairi