Pernah Hidap Kanser Buah Pinggang, Awie Berjaya Kesan Awal – “Saya Rasa Masa Saya Dah Nak Habis…”

Penyanyi rock kumpulan Wings, Datuk Awie mendedahkan dirinya pernah menghidap penyakit kanser buah pinggang, pada tahun 2021 yang lalu.

Perkara itu telah didedahkan oleh Awie ketika ke udara bersama Haiza dan Muaz di segmen Pagi On Point di Kool 101, baru-baru ini.

Menurut Awie, dia bersyukur kanser itu dikesan awal meskipun hatinya luluh selepas doktor mengesahkan perkara itu.

“Saya ada ‘problem’ kidney, ada tumor dan doktor sahkan itu adalah kanser tapi Alhamdulillah dikesan lebih awal. Saya sudah pun potong dan buang tumor tersebut.

“Masa nak bagitahu saya ketika itu pun, doktor macam tergagap-gagap. Beberapa doktor di hospital kata, ‘This is very suspicious’ dan bila dia buat pemeriksaan, dia kata kena buang satu kidney.

“Hati saya macam rasa saya punya masa nak habis dah,” katanya.

Kata Awie, pada awalnya dia enggan membuat pembedahan namun nekad setelah dipujuk isterinya dan bertemu dengan seorang doktor pakar yang merawatnya.

“Kemudian saya dapatkan second thought. Saya jumpa doktor ni, dia pakar potong halus. Dia periksa saya dia sahkan saya 95 peratus kanser. Saya terkejut dan decide empat bulan kemudian selepas dipujuk isteri.

“2.7 sentimeter dia keluarkan. Terror doktor tu,” jelasnya.

 

Fatin Nurain