Persiapan Dah Berjalan 50%, Hael Husaini Bakal Adakan Konsert Solo Sulung Disember Ini

Buat julung kalinya penyanyi serba boleh tanah air, Hael Husaini akan mengadakan sebuah konsert berjudul Hael Husaini Live in KL (HHLIKL).

Konsert yang direncanakan akan berlangsung pada 4 Disember 2022, jam 8 malam, bertempat di Zepp Kuala Lumpur.

“HHLIKL merupakan konsert solo pertama saya selama hampir 15 tahun menjadi anak seni. Saya percaya ini adalah impian buat kesemua penyanyi,” katanya.

Menurut Hael lagi, konsert ini adalah kesinambungan daripada kejayaan showcase khas An Evening with Hael Husaini yang telah berlangsung pada 30 Jun 2022 yang lalu bertempat di Nero Event Space, Bandar Utama.

Selain dari ingin melakukan persembahan yang terbaik pada malam itu nanti, konsert ini juga merupakan lambang penghargaan kepada semua peminat dan penyokong-penyokong saya yang masih setia dari awal kemunculan sehinggalah sekarang.

“Saya yakin mereka akan dapat merasakan pengalaman perjalanan karier muzik saya sepanjang malam konsert itu nanti. Saya akan terjemahkan kesemuanya melalui lagu dan persembahan.

“Saya bersyukur mendapat sokongan yang hebat daripada pihak pengurusan dan label muzik saya Rocketfuel Entertainment, rakan media dan sahabat-sahabat industri hiburan yang lain. Walaupun ada sedikit cabaran dari segi persaingan dengan konsert-konsert artis bernama besar dan antarabangsa yang dianjurkan dalam lingkungan masa yang sama, saya tetap yakin dan optimis untuk menjadikan konsert ini satu kenyataan.

“Berkenaan dengan persiapan memandangkan tempoh masa hanya lebih kurang satu bulan sahaja lagi, boleh saya katakan 50 peratus persiapan dari segi persembahan dan teknikal telah dijalankan.

“Persembahan muzik pada malam itu nanti akan diketuai oleh pengarah muzik terkenal iaitu Sze Wan manakala Jennifer Thompson pula bertindak sebagai pengarah konsert.

“Konsert ini dijangka berlangsung selama dua jam dengan rangkaian 23 buah lagu. Walaubagaimanapun, pemilihan lagu masih lagi dalam fasa terakhir perbincangan.

“Bilangan lagu yang akan akan saya sampaikan masih lagi dalam perbincangan kerana terlalu banyak lagu yang ingin kami sampaikan pada malam konsert nanti, jadi harus betul-betul memilihnya,” katanya lagi.

Terdapat lima kategori tiket bermula daripada RM139 (Lara Zone), RM179.00 (Haram Zone), RM349.00 (Standard Seat) dan RM389.00 (VIP Seat).

Pass Meet & Greet pula dijual pada harga RM409.

Tiket-tiket sudah mula dijual di platform haelhusaini.ubertickets.my

Halimey Zamal