Persiapan Sudah Separuh Jalan, Mimi Lana Bersedia Jadi Isteri Syafiq Kyle – “Masing-Masing Tahu Peranan…”

Pelakon cantik, Mimi Lana memberitahu sudah bersedia untuk menjadi isteri kepada pelakon popular, Syafiq Kyle, tahun ini.

Menurut Mimi atau nama sebenar Mimi Rozaiana Zainal Abidin, dia memohon orang ramai agar urusan rumah tangga yang bakal dibina mereka dipermudahkan.

“Saya dan Syafiq pun sudah berkawan lama. Insya-Allah sudah bersedia, doakan saya.

“Sejujurnya memang ada sedikit rasa berdebar sebab bakal melangkah ke satu fasa yang lebih serius dalam hidup. Tapi tidaklah rasa gemuruh yang keterlaluan, mungkin detik itu belum sampai lagi.

“Pada waktu ini, saya banyak berdoa supaya kami berdua dapat laluinya dengan baik, tiada masalah. Itu saja yang saya harapkan.

“Berkenaan hal-hal lain, tiada ada yang boleh saya ulas lanjut mengenainya. Saya risau juga kalau asyik berkongsi, peminat pun naik bosan sebab hal yang sama.

“Tapi itulah hakikatnya, insya-Allah dalam tahun ini juga (berkahwin),” katanya.

Mimi ditemui semasa Majlis Kempen Ramadan Raya ‘Seindah Kasih’ Media Prima Berhad di Glenmarie, semalam.

Mengulas lanjut mengenai persiapan perkahwinannya, hampir separuh sudah selesai.

“Kalau nak bercakap mengenai hal perkahwinan, rasanya sama seperti pasangan lain. Cuma syukur kerana kami sudah lama mengenali jadi proses itu makin mudah. Semuanya mengikut apa yang dirancangkan, masing-masing juga sudah tahu peranan.

“Malah ahli keluarga kami pun sangat menyokong. Alhamdulillah setakat ini, lebih 50 peratus persiapan sudah dilakukan, sudah separuh jalan” ujarnya.

Terdahulu, Syafiq memaklumkan majlis perkahwinannya dijangka berlangsung selepas Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.

Untuk rekod, Syafiq bersama keluarga telah merisik Mimi pada 21 Januari lalu di sebuah majlis tertutup.

Maya Basir