Prekuel Mat Kilau Dilanda Kontroversi, Beto Kusyairy Beri Nasihat Pada Nadhir Nasar – “Habiskan Kerja, Jangan Tinggalkan Rekod….”

Pelakon Beto Kusyairy memberi nasihat kepada pelakon Nadhir Nasar untuk tidak terburu-buru meninggalkan produksi filem prekuel Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan berhubung kontroversi tentang penggambaran tersebut.

Menurut Beto atau nama sebenar Nur Kusyairy Zakuan Osman, dia tidak mahu melihat pelakon berbakat besar itu meninggalkan rekod buruk dalam kariernya.

“Nadhir juga terlibat dalam filem itu dan saya beritahu padanya supaya habiskan kerja. Jangan tinggalkan rekod kerja tak habis.

“Selagi belum dibuang, selesaikan semua kerja,” ujarnya semasa ditemui di sidang media Super Wira di Pavillion Bukit Jalil, baru-baru ini.

Mengulas mengenai kontroversi yang melanda filem itu, Beto sebagai rakan industri akui kecewa kerana sedikit sebanyak memberi kesan negatif kepada naskhah berkenaan.

Namun, dia tidak mahu masuk campur kerana tidak mengetahui punca sebenar permasalahan yang berlaku.

“Saya sedih sebab perkara ini berlaku dalam kalangan rakan-rakan. Saya hanya mampu mendoakan yang terbaik buat mereka.
“Saya tak tahu masalah apa yang berlaku dan malas nak ambil tahu. Saya tak mahu tambah ‘minyak’, lantaklah,” jelasnya.

Terdahulu, pengarah filem tersebut iaitu Areel Abu Bakar mendakwa digugurkan secara tiba-tiba daripada pembikinan filem terbitan Studio Kembara.

Areel meluahkan rasa kecewa apabila perkhidmatannya ditamatkan sedangkan penggambaran sudah siap hampir 90 peratus.

Maya Basir