PRN: Afdlin Shauki Pilih Altimet Teraju Kawasan Lembah Jaya

Pengarah dan pelakon, Datuk Afdlin Shauki, 52, meletakkan harapan agar penyanyi Altimet, 44,  berjaya meraih undian tertinggi sekaligus menjadi calon Pilihan Raya Negeri (PRN) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), Lembah Jaya.

Katanya, ramai dalam kalangan rakan selebriti menyokong pelantun lagu Amboi itu bagi mewakili Pakatan Harapan.

“Semangat kentalnya yang menyertai arena politik ketika ini dan sudah menjadi calon bertanding di PRN membuatkan kita menyokong dan memberi semangat untuk dia berjuang.

“Saya harap agar Altimet berjaya dalam percubaannya kali ini untuk memenangi DUN Lembah Jaya. Rakan artis semua menyokong dan memberi semangat kepadanya kerana dia antara artis baharu yang agak ada nama bertanding mewakili PH,” katanya.

Ketika ditanya mengenai pandangannya apabila artis menjadi calon bertanding dan tewas sebagaimana keputusan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU 15) lalu, Afdlin berkata, ia berkemungkinan mereka tersalah pilih parti yang diwakili.

“Pada saya, sekiranya memilih parti yang tepat untuk bertanding, insya Allah akan menang. Pada saya sekarang ini, kami sangat-sangat melihat semua orang tidak kira latar kerjaya diceburi boleh menjadi calon untuk bertanding.

“Umpamanya, individu yang bawa ‘grab’ pun nak jadi calon, insya Allah boleh kalau ada rezeki. Jadi, tak ada kurangnya juga kalau seorang artis memasuki politik dan menjadi calon untuk PRN,”jelasnya.

Tambah Afdlin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim antara individu yang menghargai anak seni, maka peluang dan ruang terbuka luas kepada Altimet atau nama penuhnya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad memandangkan dia juga dipilih menjadi calon oleh Anwar.

Terdahulu, Altimet yang mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Keramat hari ini bersaing dengan calon Perikatan Nasional, Sharifah Haslizah Syed Ariffin dalam perlawanan satu lawan satu.

Pada April 2021 lalu, Afdlin dan Altimet mengesahkan mereka menyertai PKR yang diumumkan sendiri oleh Anwar selaku Presiden PKR di sebuah hotel di Ampang, ketika itu.

 

Sumber: Harian Metro

Salma Syahbuddin