Puas Dapat Hantar Ibu Bapa Tunai Haji, Ruhainies Tak Boleh Banyak Rehat – “Biarlah Saya Bekerja Kuat Kerana…”

Pelakon Ruhainies mengakui keluarga menjadi penyebab utama untuk dirinya terus bekerja keras sepanjang menceburkan diri dalam bidang seni.

Bakal meraikan hari lahir ke-30 pada 27 Julai ini, pemilik nama penuh Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas mengimbas kembali suka duka sepanjang mencari rezeki untuk keluarga.

“Saya seorang yang rapat dengan keluarga. Ke mana saya pergi, ahli keluarga pasti ada menemani. Sepanjang 30 tahun saya hidup, pastinya pernah melalui zaman susah. Saya percaya setiap orang pun ada zaman jatuh naik bersama keluarga.

“Saya dah berjanji dengan diri sendiri, jika keluarga saya memerlukan saya bila-bila masa, pasti saya kena ada untuk mereka, tak kiralah dari segi sokongan moral atau kewangan.

“Sebab itu saya bekerja keras kerana tanggungjawab itu ada pada saya. Tujuh tahun berkecimpung dalam dunia seni, saya memang fokus untuk mencari rezeki kerana saya mahu membantu.

“Mana tahu jika ada situasi yang tidak mengizinkan berlaku, saya ada untuk mereka. Saya tak boleh banyak rehat sangat, biarlah saya bekerja kuat kerana jika ada apa-apa yang terjadi kepada keluarga, saya ada,” katanya.

Ruhainies ditemui di majlis sambutan hari lahir yang dianjurkan oleh kelab peminatnya di Riyaaz Event Space, Puchong pada Isnin.

Sempena ulang tahun ke-30, pelakon ini berhasrat untuk terus membahagiakan keluarganya.

“Sempena hari jadi, saya mahu terus membuatkan keluarga saya gembira, terutamanya ibu bapa saya.

“Saya masih ingat sewaktu awal bekerja, ibu dan bapa saya berhasrat nak menunaikan haji. Jadi saya kerja keras untuk mencapai apa yang mereka inginkan.

“Mereka teringin sangat dan saya bersyukur dapat menunaikan impian mereka untuk ke sana pada 2019. Biarpun saya tak pergi sekali, saya rasa itu kepuasan utama saya. Rasa gembira itu sangat berbeza dan selepas itu, rezeki saya semakin murah,” katanya lagi.

Padin