Hampir Setahun Berlangsung, Puteri Zarith Harap Urusan Perceraian Segera Selesai… Tak Mahu Emosi Anak Terganggu

Usahawan dan pempengaruh, Puteri Zarith menjelaskan urusan perceraiannya bersama suami, Dr Munzir Shkori masih berlangsung dan belum menemui titik noktah.

Bercakap kepada XTRA, Puteri juga berharap ia dapat diselesaikan segera agar tidak menganggu emosi anak-anak.

“Ia masih dalam proses, sebenarnya ia lama juga, hampir setahun juga kes ini berlangsung.

“Ramai yang beranggapan kami sudah berpisah tetapi tidak, jadi doakan semuanya dipermudahkan.

“Saya harap cepat-cepatlah selesai dan tak mengganggu emosi anak-anak juga. Sebab zaman kini semuanya melalui media sosial, mereka juga baca dan sebagainya, jadi tak baguslah,” katanya.

Puteri ditemui pada majlis eksklusif preview Riviera Raya Lebaran FiziWoo di Ibu Kota, baru-baru ini.

Disoal mengenai perasaan anak-anak tentang kemelut yang dilaluinya, ibu kepada dua cahaya mata itu mengakui ia sangat mencabar.

Malah, Puteri turut memaklumkan anak lelakinya turut mengalami gangguan emosi.

“Perkara itu paling sukar sekali untuk saya hadapi, sebab anak-anak saya semua dah besar, kalau masih kecil seperti dua tahun saya masih okay lagi.

“Mereka dah besar mungkin mereka tahu situasi yang dilalui ibu bapa mereka, sekarang anak perempuan saya baik saja dia terima seadanya. Cuma yang lelaki ada buat perangai, mungkin emosi dia terganggu.

“Selama ini kami duduk berempat, mungkin juga dia perlukan ayah dia,” ujarnya.

Dalam pada itu, Puteri juga memaklumkan suaminya sering melawat anak-anak dan mereka bergilir uruskan persekolan anak-anak.

Namun, Puteri juga berharap kemelut yang dihadapinya itu dapat diselesaikan secepat mungkin biarpun ia melalui proses yang panjang.

“Kami berkomunikasi seperti biasa dan Dr juga ada datang melawat seperti biasa. Sebelum dia datang pun dia hubungi saya.

“Kami juga bergilir-gilir uruskan persekolahan anak. Komunikasi itu ada. Alhamdulillah okay.

“Kes yang sedang berlangsung di mahkamah itu saya tak boleh berkongsi lebih sebab takut mengganggu proses itu.

“Ia proses yang panjang, kalau nak dipendekkan pun boleh saja tapi begitulah…doakanlah agar tahun ini selesai semuanya,” kongsinya.

Pada Mei tahun lalu, Puteri Zarith mengesahkan dia memfailkan perceraian terhadap Dr Munzir dan keputusan dibuat selepas melalui proses perbincangan secara harmoni dan baik.

Puteri Zarith dan Dr Munzir mendirikan rumah tangga pada 1 Januari 2009 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata, Rayyan Darwish dan Puteri Medina.

ARTIKEL BERKAITAN: Puteri Zarith Selesa Miliki Saiz Pinggang Kerengga, Kongsi Rahsia Kekal Ramping – “Dari Pinggang Saya 23 Inci Hinggalah Kini…”

Khairil Khusyairi