Adi Putra Akui Drama Lelaki Itu Penuh Emosi, Pilih Karya Erma Fatima Sebagai Dedikasi Buat Arwah Ibu

Aktor popular, Datuk Adi Putra berkongsi cabarannya menggalas watak utama dalam drama terbaharu di Slot Samarinda TV3, iaitu Lelaki Itu.

Bercakap kepada XTRA, Adi Putra atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putra Halim menyifatkan wataknya dalam Lelaki Itu adalah berat kerana bermain dengan emosi.

“Secara jujurnya watak ini memang berat, bukan saja dari segi penampilan yang mewah dan hidup yang kebaratan tetapi dia bermain dengan emosi yang berbeza.

“Saya boleh katakan ia watak yang berbeza personalitinya tetapi semua ada sebab tersendiri. Untuk tak kelihatan stereotaip, saya cuba pelbagaikan supaya penonton dapat menilai.

“Saya rasa cerita ini tak akan membosankan di mata penonton kerana realitinya ada disitu,” katanya ketika ditemui.

Ditanya mengapakah memilih drama arahan Nur Sharif itu, ini jawapan teraju utama filem epik Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu.

“Sebab saya memilih karya ini adalah kerana dedikasi saya khusus buat arwah ibu saya yang pemergiannya tahun lalu. Beliau adalah peminat nombor satu saya.

“Yang kedua saya terima sebab sudah lama saya tak dapat naskah daripada produser, Erma Fatima. Itu juga sebab saya ambil tawaran ini.

“Saya bersedia dengan kritikan kerana manusia tidak sempurna, saya ambil ia sebagai positif dan bersangka baik. Saya bersedia untuk hiburkan penonton,” ujarnya.

Dalam pada itu, Adi turut mengakui terbit emosi dan rindu apabila berada di set penggambaran selepas kehilangan ibu tercinta.

“Emosi itu pasti ada, kerinduan juga ada.

“Pemergian dia juga ketika saya berangkat ke Tanah Suci dan selepas itu saya dah masuk set penggambaran.

“Jadi bohong kalau kata saya tidak ada perasaan rindu, kerinduan ini sampai bila-bila. Apa yang saya inginkan adalah arwah ibu saya tersenyum.

“Saya tak nafikan dia adalah peminat nombor satu saya yang sentiasa menyokong sejak saya berjinak dalam dunia lakonan,” tutupnya.

Lelaki Itu bakal menemui penonton di Slot Samarinda TV3 bermula 19 Mac depan setiap hari Isnin hingga Jumaat jam 10 malam.

Lelaki Itu menampilkan pelakon-pelakon hebat tanah air seperti Nabila Huda, Che Puan Sarimah Ibrahim, Fazura, Hannah Delisha, Nadia Brian, Aedy Ashraf dan ramai lagi.

Khairil Khusyairi