Puteri Sarah Bakal Fail Pembelaan Tuntutan Nusyuz

Pelakon Puteri Sarah Liyana, 38, bakal memfailkan pembelaan terhadap tuntutan nusyuz yang dibuat oleh suaminya, pengarah kontroversi Syamsul Yusof, 39.

Perkara itu dimaklumkan peguam syarie yang mewakili Puteri Sarah, Datuk Akberdin Abdul Kader selaku defendan dalam tuntutan nusyuz itu.

“Pihak kami ambil maklum tuntutan (nusyuz) yang diterima pada 24 Mac lalu. Pihak kami akan memasukkan pernyataan pembelaan terhadap tuntutan tersebut,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur.

Dalam pada itu, Akberdin turut memaklumkan Puteri Sarah tak dapat hadir pada prosiding hari ini kerana berada di luar negara dan memohon kehadiran anak guamnya dikecualikan.

“Anak guam akan sampai di Malaysia pada pukul 11 pagi ini,” katanya.

Sementara itu peguam syarie Syamsul, Azmi Mohd Rais mengesahkan perkara terbabit.

Selepas mendengar makluman kedua-dua belah pihak, Hakim Syarie Maizatul Aliza Chee Din menetapkan 8 Mei ini bagi sebutan semula kes.

Pada tarikh sebutan semula kes itu, mahkamah turut mengecualikan kehadiran Syamsul dan Puteri Sarah dan hanya diwakili peguam syarie masing-masing.

Berdasarkan tinjauan laman sosial Sarah, pelakon Andai itu Takdirnya berada di Jakarta, Indonesia atas urusan kerja.

Terdahulu, Syamsul yang memfailkan permohonan nusyuz pada 21 Mac lalu tiba di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur kira-kira jam 9.10 pagi bagi sebutan pertama kes nusyuz terhadap Puteri Sarah.

ARTIKEL BERKAITAN: Puteri Sarah Tak Hadir Kes Sebutan Nusyuz, Syamsul Yusof Mohon Doa – “Hanya Mampu Bersangka Baik Kepada…”

ARTIKEL BERKAITAN: Syamsul Yusof Syukur Puteri Sarah Beri Kerjasama Perihal Anak… Enggan Ulas Raya Di Mana & Hubungan Dengan Ibu Bapa

Terdahulu, peguam Syamsul berkata, Puteri Sarah terbabit dalam beberapa tuntutan nusyuz atas beberapa alasan.

“Syamsul sudah memfailkan kes tuntutan nusyuz terhadap Puteri Sarah dan kami berusaha mendapatkan kebenaran untuk menyerahkan saman memandangkan Puteri Sarah tinggal di Wilayah Persekutuan. Jadi kami akan serahkan saman ini kepada dia dalam masa terdekat ini.

“Nusyuz adalah isteri tidak taat dan derhaka, jadi Syamsul memfailkan tuntutan nusyuz ini kepada Puteri Sarah kerana beberapa alasan yang dinyatakan dalam tuntutan tadi.

“Antaranya dia meninggalkan rumah kelamin sejak Oktober 2020, keduanya masih menghubungi bekas kekasihnya dan ketiga enggan mematuhi notis nusyuz serta keempat sudah membuat fitnah terhadap Syamsul seperti memukul dan tidak memberi nafkah,” katanya.

Untuk rekod, Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 2014 dan pasangan itu dikurniakan dua anak iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.

Padin