Puteri Sarah Tiada Niat Jadi ‘Batu Api’ – “Saya Cuma Beritahu Cara Hadap Orang Ketiga”

Pelakon Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 37, menjelaskan, dia tiada niat untuk menjadi batu api dalam rumah tangga seseorang melainkan bertujuan untuk membantu dan membela nasib para isteri yang teraniaya.

Memetik laporan Harian Metro, dia hanya memberitahu cara-cara untuk menghadapi orang ketiga dan tindakan yang perlu diambil sekiranya mereka berdepan konflik yang sama sepertinya.

“Saya memang nak membantu sebab saya pun pernah alaminya. Terdapat golongan yang mengecam saya itu sebab mereka tak rasa. Jadi, saya rasa tak salah berkongsi dan sebar nilai positif.

“Beribu mesej masuk, ramai yang nak bercerita dan minta kata-kata semangat. Saya cuma nak bantu beri kata-kata semangat, tapi segelintir golongan lelaki yang buat salah pula jadi ‘cacing kepanasan’.

“Nak jadi batu api apa, saya cuma memberitahu cara-cara untuk menghadapi orang ketiga saja. Apa tindakan perlu dibuat, bagaimana nak buat laporan. Bukannya suruh buat benda bukan-bukan dekat rumah,” katanya.

Tambahnya, dia hanya menjawab segala pertanyaan dan membantu memberi panduan sekiranya ada yang tampil meminta pertolongan termasuklah bekas isteri Hafidz Roshdi,  Nurul Shuhada.

“Masa saya di Madinah, dia (Shuhada) ada DM saya melalui media sosial (Instagram).

“Dia DM dan ceritakan masalahnya. Shuhada meminta saya untuk mendoakannya.

“Dia juga bertanya, apa langkah yang patut diambil sebab dia memang tak tahu apa patut dilakukan,” jelasnya.

 

Sumber: Harian Metro

Salma Syahbuddin