Raf Yaakob Perjelas Cerai Mawar Rashid Bukan Sebab Orang Ketiga – “Allah Dah Kata Jodoh Kami Setakat Ini Sahaja”

Bekas suami aktres Mawar Rashid yang juga adik kepada cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob, Raf Yaakob,  akhirnya tampil menjelaskan punca sebenar perceraiannya dengan bekas isterinya itu.

Katanya, perpisahan berlaku bukan disebabkan wujudnya pihak ketiga melainkan jodohnya dengan Mawar sudah tertulis setakat itu sahaja.

“Allah dah kata jodoh kami setakat ini sahaja, jadi saya reda dan menerima ujian ini dengan hati terbuka.

“Saya ingin terangkan di sini bahawa, perceraian kami bukanlah disebabkan oleh pihak ketiga. Saya tiada orang ketiga dan begitu juga dengan bekas isteri saya,”  katanya ketika ditemu bual dalam program melodi, TV3.

Meskipun sudah tiga bulan bercerai, namun Raf atau nama penuhnya, Raden Ahmad Faizal Yaakob, 39, memaklumkan hubungannya dengan Mawar masih baik dan kini mereka lebih fokus dengan kebahagiaan anak-anak.

“Alhamdulillah, hubungan saya dengan bekas isteri baik-baik sahaja. Selepas bercerai, tiada siapa yang keluarkan sebarangan kenyataan.

“Kami berdua sangat fleksibel apabila melibatkan anak-anak. Dan, tanggungjawab kami untuk membesarkan anak-anak dalam keadaan yang bahagia,” jelasnya.

Ketika ditanya mengenai jodohnya kelak, Raf sama sekali tidak menolak andai takdir menyatukannya semula dengan bekas isteri dalam masa sama, dia sentiasa berdoa agar dipertemukan dengan wanita yang baik.

“Kalau Allah kata saya akan dijodohkan semula dengan dia (Mawar), maka dialah orangnya. Namun jika Allah kata bukan, maka bukanlah dengan dia. Yang penting sekarang ini, saya mahu fokus untuk mencari nafkah buat anak-anak dan perbaiki diri saya sendiri,” ujarnya.

Terdahulu, Raf dan Mawar sah bercerai pada  November tahun lalu.

Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata iaitu,  Raden Muhammad, 5, Raden Seri Rosabella Cinta, 3 dan Raden Seri Riyanna Sayang, 1.

Raf juga memiliki dua orang anak hasil perkahwinan terdahulu iaitu, Raden Ahmad Rayyan dan Raden Seri Raysaa Chanela.

Salma Syahbuddin