Raja Ema Kekalkan Konsep ‘Manja’ Dalam Single Terbaru

Lama kita tak dengar khabar terbaru penyanyi Raja Ema kan? Dia merupakan penyanyi popular yang cukup terkenal dengan lagu-lagu berentak ‘manja’ 80-an dulu.

Antaranya lagu seperti Angan-Angan dan Jejaka Idaman, lagu yang ‘manja’ dan masih diminati sehingga kini. 

Penyanyi berusia 50 tahun itu ketika ditemui di Showcase Muzik Muzik 33 di IOI City Mall, Putrajaya memberitahu dia bakal tampil dengan single terbaru.

“ Saya bakal hadiahkan single bertajuk ID Cintamu yang sudah siap dirakamkan. Cuma tinggal masa untuk dipasarkan.

“ Masih dengan konsep 80-an walaupun umur saya dah 50 tahun, saya masih kekalkan konsep lagu ‘manja’,” katanya sambil ketawa.

Raja Ema atau nama sebenarnya Raja Ema Bt Raja Ibrahim gembira untuk menyanyikan lagu ID Cintamu yang merupakan ciptaan Fauzi Marzuki.

“ Beliau salah seorang komposer yang sangat saya selesa untuk bekerjasama. Saya harap lagu ini mendapat respon yang baik dalam kalangan pendengar terutama peminat saya,” katanya.

Sebelum ini, Fauzi Marzuki merupakan komposer untuk lagu Jejaka Idaman dan Angan- Angan yang dicipta sekitar tahun akhir 80 an.

Dalam perkembangan lain, Raja Ema juga bakal membintangi sebuah drama rantaian popular tak lama lagi! Apapun, tajuknya masih dirahsiakan. Buat Kak Raja Ema, semoga terus sukses dalam karier seni ya! 

SGMS Faida

Recent Posts