[VIDEO] Raja Ema Dedah Tak Sedar Perform Dekat Olimpik 1988 Adalah Perkara Besar – “Dah Tua Baru Perasan”

Penyanyi dan pelakon senior Raja Ema tampil mendedahkan situasi sebenar ketika diundang menjadi artis jemputan untuk membuat persembahan pada kejohanan Olimpik Musim Panas pada tahun 1988 di Seoul, Korea Selatan.

Menerusi sebuah temu bual, Raja Ema atau nama lengkapnya Raja Ema Raja Ibrahim itu berkata, dia tidak menyedari bahawa dia membuat persembahan di pentas kejohanan dunia yang besar tersebut ketika itu.

“Sebenarnya pada tahun 1988, Korea terpilih dan dipilih menjadi tuan rumah pertama untuk Asia.

“Jadi mereka sangat-sangat berbesar hati untuk menjemput beberapa penyanyi Asia lain untuk berkongsi pentas di acara pembukaan Olimpik 1988.

“Saya sebenarnya tak tahu, pengurus saya ketika itu adalah ibu saya, selepas itu pihak EMI beritahu yang saya dijemput untuk buat persembahan dan nyanyi lagu Mentari Korea,” kongsinya.

Kongsi pelantun lagu Jejaka Idaman itu lagi, pada mulanya agak keberatan untuk beraksi di pentas Olimpik tersebut kerana menjalani penggambaran.

Lebih manis, Ema membuat persembahan di kejohanan tersebut pada usianya 19 tahun.

“Tiada uji bakat, mereka terus hubungi, ketika itu saya ada penggambaran di Indonesia. Pada tarikh Olimpik itu juga saya ada penggambaran.

“Pada mulanya saya memang tak dapat nak lakukan sebab saya kalau boleh nak beri fokus satu persatu dahulu, tak boleh campur, berserabutlah.

“Tapi Olimpik kan, ketika itu pun saya muda remaja lagi, umur 19 tahun. Orang suruh nyanyi jadi saya hanya nyanyi sahaja lah.

“Saya tak anggap ia sebuah acara besar, tanpa disedari. Sekarang ini dah tua baru lah perasan,” ujarnya.

Khairil Khusyairi