Rasa Tak Manis Bawa Suami, Janna Nick Terpaksa Berjauhan Dengan Dini Schatzmann Selama 2 Minggu – “Selepas Berkahwin, Ini Pertama Kali…”

Pelakon Janna Nick terpaksa berjauhan dengan suaminya, Dini Schatzmann selama dua minggu untuk menjalani penggambaran drama Surat Dari Tuhan di Tanah Suci Makkah.

Menurutnya, dia bakal berangkat ke Tanah Suci pada 10 September dan buat pertama kali meninggalkan suami tersayang dalam tempoh lama selepas bergelar isteri.

“Dua minggu akan tinggalkan Dini di Malaysia sebab pergi ke Makkah untuk urusan penggambaran drama. Tapi, kita pun pergi ke tempat suci untuk beribadah dan pada masa sama bekerja juga.

“Sebenarnya, nak bawa Dini sekali. Tapi, sebab benda ini pun atas dasar kerja, jadi saya rasa ia macam tidak manis kalau nak bawa suami.

Pada saya, kerja tetap kerja dan kalau betul-betul nak pergi beribadah, nanti kita pergi lagi,” katanya yang ditemui semasa sidang media Teater Muzikal Kanak-Kanak, Pak Pandir & Labu Ajaib di Glass House Seputeh, baru-baru ini.

Sementara itu, Janna memberitahu yakin untuk meninggalkan suaminya dan berharap semua dalam keadaan yang baik sehingga dia pulang semula ke tanah air.

“Selepas majlis perkahwinan kami, ini adalah kali pertama terpaksa berjauhan dengan Dini dalam tempoh yang lama.

“Lagi pun, Dini perlu membantu saya menguruskan sesi latihan pelakon untuk Teater Muzikal Kanak-Kanak, Pak Pandir & Labu Ajaib.

“Teater ini akan dipentaskan di Istana Budaya (IB) pada 13 hingga 15 Oktober depan. Jadi, kami ada jadual masa latihan yang terhad iaitu kira-kira sebulan saja sebelum pementasan berlangsung. Apapun, semoga semuanya lancar,” ujarnya.

Untuk rekod, Janna dan Dini telah mendirikan rumah tangga pada 10 Jun lalu di Langkawi, Kedah.

Maya Basir