Bebas Kes Rasuah, Bung Moktar & Zizie Izette Menangis, Berpelukan

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri yang juga pelakon Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad daripada tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.8 juta, lapan tahun lalu.

Menurut laporan Harian Metro, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azhar Abdul Hamid dalam keputusannya berkata, mahkamah membuat dapatan itu selepas pemeriksaan dan penelitian terhadap rekod prosiding.

Dua saksi pendakwaan berkenaan adalah ejen Public Mutual iaitu Norhaili Ahmad Mokhtar dan Madhi Abdul Hamid.

Azhar berkata, sehubungan itu ia adalah kes yang betul dan wajar bagi mahkamah melaksanakan kuasa semakan mengikut Seksyen 323 Kanun Prosedur Jenayah.

“Dengan itu, keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan kedua-dua pemohon untuk membela diri (pada 2 September tahun lalu) adalah salah laksana keadilan.

“Saya dengan ini mengguna pakai Seksyen 325 Kanun Prosedur Jenayah bagi melepas dan membebaskan kedua-dua pemohon,” katanya.

Azhar berkata demikian selepas membenarkan permohonan Bung Moktar dan Zizie Izette untuk menyemak keputusan Hakim Rozina Ayob yang memerintahkan mereka membela diri selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Sebaik mendengar keputusan itu, Bung Moktar dan Zizie Izette yang berada dalam kandang tertuduh, kelihatan menangis dan berpelukan.

Sebelum ini, Bung Moktar, 65, dan Zizie Izette, 45, merayu terhadap keputusan Azhar pada 9 Disember tahun lalu yang menolak permohonan pasangan itu untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri atas tiga pertuduhan rasuah.

Terdahulu, Pada 2 September 2022, Rozina memerintahkan pasangan itu membela diri atas tiga pertuduhan rasuah selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar dituduh menerima rasuah daripada ejen Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, menerusi Zizie Izette di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

Beliau juga didakwa menerima suapan wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015 manakala Zizie Izette berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.

Sumber: Harian Metro

Khairil Khusyairi