Refal Hady Tak Setuju Ibu ‘Kenenkan’ Jodoh – “Saya Pernah Dipaksa Berkahwin Tetapi…”

Pelakon kacak dari negara seberang, Refal Hady mendedahkan pernah dijodohkan oleh ibu bapa dengan pilihan mereka namun dia tidak setuju dengan perkara tersebut.

Memetik laporan Kosmo, Refal atau nama sebenar Reza Fahlevi Alhady, 29, berpendapat bahawa anak-anak zaman sekarang perlu diberi ruang dan peluang untuk berkahwin dengan pilihan mereka sendiri.

“Ibu bapa pernah memaksa saya berkahwin dengan wanita pilihan mereka tetapi jodoh itu tidak ‘menjadi’.

“Untuk itu, saya akan menentukan jodoh sendiri dan dengan siapa saya akan habiskan hidup. Sungguhpun begitu, bergantung juga dengan keadaan.

“Kadang-kadang pilihan ibu bapa kita ‘menjadi’ namun ada masanya berakhir dengan kegagalan,” katanya.

Menurutnya lagi, ibu bapa perlu sedar bahawa dunia semakin mencabar dan pernikahan bukan sesuatu hal yang mudah.

Malah, perkahwinan merupakan satu perjanjian dimana kita perlu menjalani kehidupan berumah tangga bagi tempoh yang panjang dengan pasangan.

“Saya tahu bahawa ibu bapa semuanya mahu yang terbaik buat anak mereka. Bagi saya, cuba boleh (mencarikan jodoh). Cuma jangan jadikan itu sebagai paksaan.

“Hal ini kerana, hidup kita adalah pilihan kita. Kitalah yang memilih apa yang terbaik buat diri sendiri,” ujarnya.

Maya Basir