Retak Hatiku Hancur Semua… 2.6 Juta Views Dalam Masa 2 Minggu, Trending #1 Di YouTube! Iera Milpan Teruja Single Pertama Diterima Ramai

Sohor kini di media sosial lagu Retak Hatiku yang dinyanyikan oleh pendatang baharu di arena muzik tanah air, Iera Milpan sehingga berjaya menarik perhatian ramai.

Menurut Iera atau nama lengkapnya Syahirah Milpan, 21, dia mengakui teruja apabila single pertamanya itu tular dan menjadi siulan di media sosial terutama di TikTok.

Lagu terbabit dicipta oleh Zai Hamzah dan Oja serta lirik hasil nukilan Achoi Floor 88 kini meraih 2.6 juta tontonan selepas dua minggu dilancarkan dan berada di kedudukan #1 carta trending YouTube.

“Saya bersyukur lagu tersebut mendapat tempat di hati pendengar dan diterima ramai kerana mengangkat melodi era 90-an sehingga berjaya meraih lebih 2.6 juta tontonan di YouTube.

“Rasa macam tak percaya. Syukur Alhamdulillah, sebab saya baru keluar single pertama terus boleh capai tontonan sebanyak itu.

“Mungkin sebab ramai yang sama macam saya, suka vibe 90-an, bila saya keluar lagu Retak Hatiku ini ramai menyokong sebab ada vibe 90-an,” ujarnya.

Dalam pada itu, Iera turut berasa risau sekiranya populariti yang diterimanya kini akan lebur dalam masa yang singkat sebaliknya akan terus bekerja keras dalam bidang nyanyian.

“Takut juga sebab ini kali pertama orang ramai kenal saya tapi macam mana pun saya akan usaha lebih lagi untuk buat yang terbaik. Insya-Allah.

“Saya minat vibe 90-an sebab sebelum lagu Retak Hatiku ‘release’ memang saya banyak cover lagu-lagu 90-an di TikTok,” kongsinya lagi.

Khairil Khusyairi