Categories: Hiburan

Rezeki Mencurah Selepas Menang Bintang Paling Popular, Dipilih Jadi Duta… Bell Ngasri Dapat Bayaran Tinggi?

Selepas meraih trofi Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Popular BH ke-35 (ABPBH35), pelawak Bell Ngasri, 43, tidak pernah meletak harga bayaran tinggi untuk sesuatu kerja seni.

Walaubagaimanapun, pemilik nama Nasrizal Ngasri ini tidak menafikan terdapat peningkatan harga bayaran untuk beberapa tawaran kerja yang ditetapkan sendiri oleh penganjur.

“Sejujurnya, saya tak letak harga bayaran tinggi. Mungkin ada peningkatan sedikit, tapi bukan saya yang tentukan. Sebaliknya, mereka (penganjur) sendiri yang menambah kadar bayaran untuk diberikan.

“Pernah berlaku situasi, saya diberikan harga yang berbeza berbanding dulu sehingga saya tanya secara bergurau, kenapa dulu tidak beri harga begini?” katannya.

Tidak kisah dengan bayaran yang diberikan, Bell bersyukur dan menganggap populariti yang diraih sebagai rezeki.

“Tetapi saya tak kisah pun sebab dah lama dalam bidang ini. Asalkan kena dengan tawaran dan harganya berbaloi. Apa bayaran yang mereka berikan, itu adalah rezeki saya.

“Mereka tahu cara kerja saya dan menghargai hasilnya. Jadi kadang-kadang saya tidak perlu letakkan harga, tapi mereka tahu sendiri,” katanya.

Pelakon filem Kaki Bakar ini ditemui pada majlis pengumuman pelantikannya sebagai wajah produk minyak wangi jenama Sky keluaran Ikonik Sky Entertainment, baru-baru ini.

Sering membawa watak lelaki kampung, Bell tidak menyangka dirinya masih mendapat tempat menjadi duta atau wajah bagi sesebuah produk.

“Mereka mempercayai saya dan itulah yang dinamakan rezeki. Saya pun tak sangka rezeki datang dalam pelbagai bentuk. Saya percaya setiap tawaran yang datang itu bersebab. Mungkin saya dekat dengan pelbagai golongan selain suka bertemu peminat,” katanya.

Sementara itu, Menurut Pengarah Urusan Iconic Sky Entertainment, Muhammad Danial Ismail, wangian Sky tampil dengan tiga variasi Bell Edition iaitu Bell Eau De Parfum for Him, Bell Eau De Parfum for Her dan Bell Freshener.

“Pemilihan Bell sebagai duta produk untuk wangian Sky bagi Bell Edition adalah bertepatan dengan visi kami untuk memperkenalkan jenama ini kepada pasaran tempatan. Kami bakal adakan acara besar-besaran untuk melancarkan wangian ini di Karnival Kedah Best yang akan berlangsung di Tasek Darul Aman Park, Jitra Kedah pada 23 Disember hadapan.

“Bell sendiri akan turun padang ke sana bagi memeriahkan acara. Selain pelancaran dan jualan wangian, Karnival Kedah Best turut menarik ramai pengunjung dengan pelbagai acara menarik seperti Pertandingan Memancing, Perhimpunan Motor, Jualan T-Shirt (motor dan memancing) serta booth jualan makanan.

“Pengunjung yang datang boleh menyertai cabutan bertuan dan berpeluang memenangi hadiah bernilai lebih RM500,000 antaranya Nissan GTR, Yamaha 135LC, gelang emas dan wang tunai dengan setiap pembelian. Kesemua pembelian wangian dan baju akan mendapat satu kupon cabutan bertuah,” katanya.

Padin