Rindu Zaman Kanak-Kanak, Khadijah Ibrahim Mula Bisnes Sarapan Ala Singapura

Penyanyi Datuk Khadijah Ibrahim bukan saja hebat dalam dunia nyanyian malah kejayaan beliau dalam bidang perniagaan makanan juga harus diberi pujian.

Peluang bertemu dengan beliau di restoran miliknya, Khadijah’s Kitchen semalam, pelantun lagu Ku Pendam Sebuah Duka Ini memberitahu beliau bakal meluaskan cabang perniagaan dengan konsep lebih unik.

“ Saya bakal menyajikan makanan sarapan pagi ala Singapura dengan harga mampu milik. Hanya serendah RM 10 ke bawah, pengunjung dapat menikmati juadah terbaik dari Khadijah’s Kitchen seperti soto daging, lontong, nasi lemak dan banyak lagi.

“ Lebih menarik, bagi pengunjung di kalangan pelajar pula kami sediakan juadah dengan harga serendah RM 6. Anda boleh makan dan minum dengan lauk-pauk seperti masakan di rumah,” katanya kepada xtra.com.

Menurut Khadijah atau lebih mesra disapa sebagai Ibu, idea menghasilkan buffet dengan harga mampu milik selepas beberapa kali merindui hidangan makanan Singapura.

“ Kadang-kadang saya fikir, bila nak dapat makanan macam waktu kecil dulu.

“ Saya seorang yang sangat mementingkan sarapan. Pengambilan makanan berat pada waktu pagi adalah rutin wajib yang saya amalkan sejak dulu lagi.

“ Yang pasti, konsep kedai yang akan dibuka tak lama lagi bakal mengimbau kenangan lama ketika saya di Singapura dahulu,” katanya.

Tambahnya, projek perniagaan dengan konsep sarapan ala Singapura bakal bermula berkemungkinan pada hujung Oktober 2018.

Dalam perkembangan lain, Khadijah kini sedang bersedia untuk  Konsert Doa Buat Kekasih 30th Anniversary Tour bakal berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 6 Oktober depan. Good Luck Ibu!

SGMS Faida