Ryan Bakery Hadap 11 Jam Perjalanan Balik Beraya Di Melaka, Lebih Tenang Isteri Ikut Bekerja

Pencipta kandungan dan pempengaruh, Ryan Bakery berkongsi pengalaman menyambut hari raya Aidilfitri sebagai seorang suami.

Menurutnya, dia dan isteri, Elyia Ibrahim terpaksa meredah 11 jam perjalanan dari utara ke selatan pada hari raya kedua.

“Bagi saya ini perkara baru buat saya. Ini tahun pertama saya bergelar sebagai seorang suami. Selalu beraya dekat kampung lama, bila dah kahwin raya kedua dah balik kampung mentua pula.

“Tapi Alhamdulilah, saya dikurniakan keluarga mentua yang baik. Kiranya balik kampung saya dan kampung isteri dua-dua best.

“Perjalanan nak balik kampung isteri ambil masa 11 jam masa hari raya kedua, dari utara ke selatan nak balik Melaka.

“Saya rasa mungkin waktu tu orang ramai pulang ke ibu kota sebab nak kembali bekerja,” kongsinya semasa ditemui di Rumah Terbuka FYP Media x Indigital Music di Pusat Komuniti Bukit Bandaraya.

Mengulas tentang kehidupan selepas berumah tangga, isterinya sering menemaninya ke acara-acara kerja.

Katanya, masing-masing lebih tenang jika kemana sahaja bersama-sama.

“Lagipun kalau dia kerja, saya tak tenang. Kalau saya kerja, dia pun tak tenang apa saya buat.

“Alhamdulilah dengan rezeki saya sekarang, saya bawa je dia untuk ikut jadi personal assistant saya,” ujarnya.

Maya Basir