Sam Bunkface Mahu Keadilan Isu Nafkah… Bekas Isteri Pula Bimbang Hidup Anak Tak Sempurna

Isu pembayaran nafkah anak penyanyi, Sam Bunkface, 35, kepada bekas isterinya, Aida Azira Husin, 36, sehingga kini masih belum selesai, malah sebutan semula kes ditetapkan pada 26 Jun depan oleh Hakim Syarie Mahkamah Rendah, Petaling Jaya, Shukran Yusof.

Memetik laporan Harian Metro, Sam atau nama sebenarnya Shamsul Anuar Baharom hanya mengharapkan keadilan atas kemelut yang melibatkan tanggungjawab sebagai ibu bapa kepada anaknya, Maleeq.

“Saya nak mencari keadilan. Insya-Allah mahkamah yang mulia ini akan berikan keadilan. Itu saja. Selain daripada itu, anda kena tanya pun Aida (bekas isteri). Pergi tanya Aida. Saya tiada apa-apa lagi nak cakap.

“Kalau saya nak cakap sesuatu saya akan bagi kenyataan yang lebih besar. Kalau korang (kamu) nak tahu, Bunkfacen akan keluar album tak lama lagi,” katanya sambil berjenaka.

Berdasarkan laporan mStar, bekas isteri Sam iaitu Aida mengukuhkan pendirian tampil dengan beberapa isu disebut dalam perbicaraan sebentar tadi.

Jelas Aida, dia bimbang sekiranya anak mereka tidak dapat hidup dalam kesempurnaan serta serba lengkap dan selesa seperti penghawa dingin.

“Kalau dikurangkan jumlah RM1,300 tu mungkin saya terpaksa kurangkan makanan dia,  saya tidak dapat memberikan kehidupan sempurna.

“Kalau dikurangkan saya terpaksa kurangkan makanan dia, permainan, ais krim. Selain itu tempat tinggal juga kena selesa, contohnya penghawa dingin yang saya kira melibatkan bil (perlu dibayar),” katanya.

Sebelum ini, konflik pembiayaan nafkah anak Sam mula tercetus selepas Aida tidak bersetuju apabila pelantun lagu Diskrimansi itu meminta pengurangan daripada jumlah RM1,300.

Sekadar info, Sam dan Aida berkahwin pada 25 April 2015 namun berpisah pada Januari 2019.

Sumber: Harian Metro, mStar

Kredit foto: Kosmo, Harian Metro

Aqilah Paharuzi