“Sangat Kurang Ajar, Carilah Saya Nanti” – Liza Hanim Terkilan Dituduh ‘Over’ & ‘Tenggelamkan’ Rakan Duet

Penyanyi popular Liza Hanim meluahkan rasa terkilan apabila ada sesetengah pihak yang cuba memburukkan namanya dengan menuduh dia akan menenggelamkan rakan duetnya dalam setiap persembahan.

Menurut Liza atau nama sebenarnya Haliza Hanim Abdul Halim, dia mempersoalkan mengapa tuduhan tersebut dicipta malah mengakui bersikap terbuka dengan sesiapa sahaja untuk bergandingan.

“Kelakar..apa yang saya boleh katakan sebenarnya ada percubaan segelintir orang yang mungkin saja nak timbulkan perkara ini.

“Untuk apa? Buat persembahan adalah jiwa saya. Saya dijemput untuk berduet bersama penyanyi lain rasa bertuah. Menyanyi dengan sesiapa pun, kita terima bakat itu.

“Bila ada yang cakap saya ‘over’ dan hanya mahu nyanyi bernada tinggi, saya terhibur. Bila nak buat persembahan, adanya proses bukan spontan macam di karaoke,” katanya ketika ditemu bual oleh program hiburan popular TV3, Melodi.

Tambah pelantun lagu Gelisah Mimpi ini lagi, dia berasa kesal dengan perkara tersebut kerana sudah bertapak lama dalam dunia hiburan tanah air.

“Sememangnya ada sekumpulan yang saja nak timbulkan tanggapan ‘Liza Hanim Over’ dan mereka berjaya.

“Sehingga kini, mereka cakap sebegitu. Saya rasa tidak adil sangat. Saya bukan pendatang baharu, dah lama saya dalam industri. Untuk mereka buat begitu sangat kurang ajar bagi saya.

“Pasti ada perkara yang buatkan mereka bercakap begitu. Saya kena belajar untuk tidak membaca komen-komen negatif,” ujarnya.

Menyifatkan ia adalah onak duri yang perlu ditempuhi setiap anak seni, Liza akui tiada langsung sekelumit niat untuk jatuhkan mana-mana pihak.

“Itu lumrah dalam industri, saya pernah mengalaminya dahulu ketika masih muda, sehingga ke hari ini, masih lagi. Ia takkan habis.

“Saya yakin rezeki Allah itu luas, orang-orang teraniaya ini walaupun nampak lambat tetapi rezekinya pasti ada.

“Saya tiada niat untuk jatuhkan sesiapa. Biar lah orang buat saya, cari lah saya nanti,” katanya.

Liza yang mengungguli kategori Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu pada Anugerah Industri Muzik ke-23 (AIM23) menyangkal dakwaan dia hanya berduet dengan penyanyi tertentu sahaja.

“Saya tak faham orang tertentu yang macam mana, dengan penyanyi baharu pun saya okey sahaja. Saya sangat fleksible, yang penting bakat, ada sesuatu yang boleh ditonjolkan, boleh saja bersama saya di pentas.

“Saya menyanyi sekarang bukan untuk bersaing, saya percaya saya berdiri sehingga ke hari ini adalah untuk memberi tunjuk ajar kepada bakat baharu,” tutupnya positif.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Nyanyian Liza Hanim Bersama Dua Anak Gadisnya Dapat Perhatian Warganet – “Aura Vokal Terbaik Menurun Ke Anak”

Khairil Khusyairi