“Saya Bukan Diva, Tapi Tidak Logik” – Rita Rudaini Tolak Watak ‘Tua’

Pelakon jelita, Rita Rudaini (43) enggan membawakan watak wanita berusia ataupun ibu yang mempunyai anak dewasa kerana menurutnya, ia kelihatan tidak realistik.

Justeru itu, pelakon yang popular menerusi filem Mami Jarum Junior ini tidak kisah sekiranya kurang mendapat tawaran lakonan kerana menolak watak-watak sedemikian. 

“Saya tidak mahu apabila melihat lakonan sendiri di skrin, ia kelihatan tidak realistik.  Jadi, lebih baik saya tolak daripada melakonkan watak sedemikian. 

“Saya juga tidak akan menerima watak ibu yang mempunyai anak dewasa.  Sekalipun berlakon, saya perlu fikir sama ada ia logik atau tidak di mata penonton,” katanya kepada BH Online.

Walau bagaimanapun ibu tunggal kepada dua orang anak lelaki Airit Rayyan Rizqin (10) dan Airit Qaqa Arjuna (8) ini tidak menolak jika watak ibu yang ditawarkan mempunyai anak berusia belasan tahun.

“Saya hanya akan melakonkan watak ibu yang mempunyai anak dalam linkungan usia 8 hingga 10 tahun.  Paling tidak, usia remaja kerana jika lebih daripada itu, saya akan tolak,” kata Rita lagi. 

Rita juga mengakui akan meneliti jalan cerita, pengarah dan barisan pelakon yang menjayakan sesuatu produksi sebelum bersetuju untuk menerima sesuatu tawaran termasuk bersikap selektif terhadap watak yang ditawarkan kerana tidak mahu melakonkan watak-watak stereotaip. 

“Sebenarnya, sudah lama saya bersikap selektif dan cuba mengelak daripada membawakan watak sama.  Setiap kali dapat tawaran, saya akan mengkaji pelbagai aspek, termasuk mengambil tahu siapa pengarah dan barisan pelakon yang terbabit. 

“Jika wataknya menarik dan belum pernah saya bawakan, saya akan terima.  Tetapi, jika wataknya sama dengan karekter yang pernah saya jayakan sebelum ini, saya akan tolak.

“Saya juga lebih selesa menjayakan telefilem, berbanding drama episod kerana jadual penggambaran lebih singkat.  Apatah lagi, saya perlu mengambil kira jadual persekolahan anak,” tegas Rita.

Tambah Rita lagi, memandangkan sekarang musim cuti sekolah, dia cuba mengurangkan aktiviti lakonan supaya dapat meluangkan masa membawa anak-anaknya bercuti. 

Kredit Foto: Instagram @ritrud77

Del14