“Saya Jadi Risau & Takut Untuk Diri Sendiri Dalam Menjalin Perhubungan” – Ruhainies

Pelakon Ruhainies tampil menyatakan dirinya tidak bersedia lagi untuk mengakhiri zaman bujangnya kerana takut dan bimbang untuk menjalinkan hubungan cinta.

Menurut Ruhainies, dia berasa bimbang dengan kemelut rumah tangga yang berlaku dalam segelintir pasangan selebriti tanah air, kebelakangan ini.

Malah, dia juga mahu menumpukan perhatian pada kerjaya, ibu bapa dan keluarganya sebelum nekad untuk menamatkan zaman solonya.

“Saya jadi risau dan takut untuk diri sendiri dalam menjalin perhubungan. Apa yang pasti, buat masa sekarang saya belum terfikir dan bersedia lagi nak berkahwin. Bagi saya, bila sampai jodoh takkan ke mana.

“Buat masa ini, jadual kerja saya pun padat. Alhamdulillah, rezeki tak putus dalam lakonan dan sebagai duta produk. Jadi, rasanya wajar untuk saya utamakan karier dahulu sebelum berkahwin,” katanya.

Memetik laporan Harian Metro, Ruhainies juga enggan berkongsi tentang kisah cinta dan peribadinya pada umum biarpun sebelum ini dirinya sering bersikap terbuka.

Namun, aktres yang membintangi drama Bintang itu menyatakan dia akan berkongsi khabar gembira itu kepada umum apabila dirinya sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga nanti.

“Ya, betul sekarang saya dah tak nak lagi ‘share’ (kongsi) tentang hal peribadi dan hubungan cinta sehingga sampai masanya. Kalau dah ada jodoh dan ingin berkahwin nanti, barulah saya kongsi.

“Sebabnya, bila kita dah mula berkongsi cerita berkaitan peribadi seperti kekasih, orang akan mula ternanti-nanti cerita seterusnya. Benda itu penatlah, bila asyik ditanya tentang perkahwinan dan karier pula seakan tenggelam,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Fatin Nurain