Categories: HiburanTrending

“Saya Jenis Introvert, Tak Out Going Sangat” – Sophia Albarakbah Teruja Lakonkan Watak Wanita Bertenaga & Lincah

Aktres jelita, Sophia Albarakbah teruja melakonkan watak sebagai ‘Karina’ menerusi filem Harimau Malaya: The Untold Journey yang berbeza dengan personaliti sebenar.

Sophia menyatakan bahawa walaupun agak janggal dengan watak tersebut namun ia bukanlah satu halangan untuk dia melakonkannya dengan baik.

Pemenang trofi Aktres Filem Popular sempena Anugerah Bintang Popular BH Ke-35(ABPBH35) itu turut meluahkan rasa syukur kerana diberi kepercayaan untuk membawa watak sebagai teman wanita kepada salah seorang pemain bola dalam naskhah arahan Datuk Afdlin Shauki.

“Saya bawa watak Karina, seorang pelakon dan juga teman wanita kepada salah seorang pemain bola.

“Perwatakannya seorang yang bertenaga, lincah, extrovert dan gedik-gedik sikit. Dia jenis yang suka buat content. Sangat berbeza dengan saya.

“Saya sebaliknya jenis introvert dan tak out going sangat. Tapi memang seronok sebab dapat mainkan watak yang lain daripada diri sebenar saya,” katanya.

Justeru, pelakon filem Ada Hantu itu memberitahu bahawa dia perlu membuat persiapan yang rapi dan perlu kerap bertanya untuk mendalami watak tersebut memandangkan ia amat berbeza dengan personalitinya.

“Saya juga perlu mengkaji terlebih dahulu suasana bola sepak tanah air bagi menjayakan watak sebagai ‘cinggey’ dalam filem tersebut.

“Tapi untuk watak ini, saya akan buat homework. Ask around,” katanya lagi.

Memetik laporan Majoriti, Sophia turut berkongsi kerjasama bersama sutradara terkenal seperti Afdlin menjadi faktor utama pelakon tinggi lampai itu memilih untuk menjadi sebahagian filem berunsur sukan dan sejarah mengenai bola sepak tanah air tersebut.

“Sejujurnya saya tak tahu apa-apa pasal bola. Apabila bercakap pasal sukan, saya lebih cenderung ke arah sukan berkuda.

“Tapi sebab dah bawa watak ini, saya akan buat homework pasal bola sepak.

“Saya ambil watak ini sebab barisan pelakon dan pengarah iaitu Datuk Afdlin.

“Jadi saya pun rasa perlu ambil peluang ini. Kedua sebab Harimau Malaya. Bukan hari-hari dapat rezeki berlakon cerita begini,” tambahnya.

Selain Sophia, filem Harimau Malaya: The Untold Journey akan dibintangi oleh Zahirah Macwilson, Aiman Hakim Redza, Tony Eusoff, Vanidah Imran, Khir Rahman, Douglas Lim, Fattah Amin, Kavin Jay, Fazura, Namron, Bell Ngasri, Azhar Sulaiman dan ramai lagi.

Syamir Shafie